Sunday 15 October 2017

Pendekatan Siaran Langsung Program Jelajah Perjuangan 4All Perlihatkan Impak Positif


KOTA BHARU, 15 Okt – Pendekatan menyiarkan program ceramah jelajah Perjuangan 4All oleh Jabatan Penerangan UMNO Malaysia dengan menggunakan medium facebook memperlihatkan impak positif apabila ada dikalangan netizen yang mengikuti secara tetap setiap kali program ini disiarkan secara langsung.

Ketuanya, Tan Sri Annuar Musa berkata, sejak program ini disiarkan secara langsung melalui medium facebook, jumlah penontonnya sudah mencecah tidak kurang 10 ribu penonton setiap kali ia diadakan.

“Sejak kita lancarkan secara rasmi siaran langsung program jelajah penerangan ini, nampaknya sudah ada yang mengikutinya secara tetap, di mana setiap kali program tersebut berlangsung, kita akan dapat mencapai sekurang-kurangnya 10 ribu orang penonton dan pernah mencapai sehingga ke 40 ribu penonton dalam satu-satu masa.

“Perkara ini membuktikan bahawa kaedah yang kita gunakan ini ternyata memberikan impak positif dalam usaha kita untuk menyampaikan mesej kepada khalayak yang lebih luas lagi, bukan hanya kepada penonton yang ada di dalam dewan atau studio sahaja.

“Kaedah ini juga memperlihatkan pendekatan kita yang lebih terbuka, di mana kita juga menerima soalan-soalan daripada para hadirin yang hadir. Sepertimana di Pulau Pinang, kita telah menerima soalan daripada wakil Dap dan juga PPBM yang turut hadir dalam program tersebut.

“Dan pagi tadi kita menerima soalan daripada para guru yang hadir dalam program kita ini. Dengan cara yang demikian kita dapat mengetahui sesuatu isu yang menjadi persoalan di kalangan masyarakat akar umbi,” jelasnya kepada pemberita ketika hadir di program ke-12 siri jelajah Perjuangan 4All yang diadakan di Politeknik Kota Bahru di sini malam tadi.

Tambah beliau lagi, pendekatan untuk menyiarkan program jelajah Perjuangan 4All ini secara langsung juga dilihat sebagai satu kaedah yang amat sesuai, terutamanya untuk menarik perhatian golongan muda untuk sama-sama menyaksikan program tersebut di mana saja mereka berada.

“Jadi golongan muda tidak semestinya menghabiskan masa dengan menghadiri dan berada di ceramah-ceramah yang kita buat. Dengan pendekatan seperti ini, mereka boleh saja duduk di hadapan laptop mereka untuk menyaksikan diskusi dan pandangan serta informasi yang kita berikan melalui program ini.

“Bagi saya, ini merupakan satu percubaan Penerangan UMNO Malaysia dalam menggunakan kaedah seperti ini. Setakat ini jelajah Perjuangan 4All ini sudah pun masuk ke siri yang ke-12 dan kita juga telah menerima banyak permohonan bukan sahaja daripada UMNO Bahagian, tetapi juga daripada agensi-agensi dan NGO yang minta kita mengadakan program sedemikian,” ujarnya.

0 comments:

Post a Comment