Sunday 1 October 2017

Penerangan UMNO Akan Adakan Program “Anda Bertanya, Kita Jawab”


MUAR, 1 Okt – Biro Penerangan UMNO akan melaksanakan program ‘Anda Bertanya, Kita Jawab’ bertujuan memberi pelbagai maklumat berkaitan UMNO dan kerajaan yang dijangka bermula pada 11 Oktober ini.

Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa, berkata program terbaharu itu akan diadakan sekali seminggu dan ia bertujuan untuk merapatkan hubungan parti itu dengan masyarakat secara keseluruhannya.

“Bagi program ini, kita akan sediakan satu studio mini di Ibu Pejabat UMNO. Kita akan menjemput wakil-wakil masyarakat dari kumpulan berbeza dan mereka akan bertanyakan soalan kepada saya sendiri atau mana-mana ahli panel pada program itu.

“Program ini terbalik sedikit di mana biasanya ada seorang moderator dan dua atau tiga orang panel akan beri pandangan. Sekarang kita tukar, yang bertanya dalam dua tiga orang dan yang menjawabnya seorang sahaja.

“Kita akan melaksanakan program ini seminggu sekali dan kita akan ambil tajuk yang berlainan dan pihak yang bertanya pun adalah daripada kumpulan masyarakat yang berlainan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Program Dialog Perjuangan 4 All di Dewan Bangunan UMNO Bahagian Bakri di sini, Sabtu malam.

Yang turut hadir, Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Hassan Johari.

Program ‘Anda Tanya, Kita Jawab’ ini akan disalurkan menerusi portal rasmi UMNO iaitu www.umno-online.my.

Annuar berkata, menerusi program itu pihaknya berharap anggota masyarakat akan dapat melontarkan apa sahaja soalan kepada ahli panel pada program itu kelak.

“Kita nak dia tanya UMNO. Kita nak dia lontarkan apa benda yang dia dengar di luar sana kerana saya nak jawab seberapa banyak soalan yang boleh. Kita mesti berkeyakinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan parti mainan kerana kita ada rekod yang baik dan mempunyai kejayaan serta mahu terbabit dengan seramai yang boleh.

“Mereka juga boleh bertanya apa sahaja dalam konteks letak duduknya UMNO dan BN. Mungkin sesekali kita akan jemput pemimpin pelajar, mungkin artis, penjaja, penghuni rumah flat dan sebagainya.

“Kalau saya menerima apa-apa pertanyaan bersifat memerlukan maklum balas daripada kerajaan, saya akan salurkannya kepada kerajaan,” katanya.bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment