Sunday 22 October 2017

Permukiman Jentera BN Perlihatkan Kesiapsiagaan Berdepan Pilihan Raya Umum Ke 14


KUALA LUMPUR – Rata-rata pemimpin muda UMNO yang ditemui di program Pemukiman Jentera Barisan Nasional Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang diadakan di Dewan Tun Razak 1 PWTC hari ini memberikan reaksi positif berhubung persediaan gerak kerja jentera BN di peringkat akar umbi, di mana mereka yakin bahawa jentera BN di seluruh negara sudah cukup bersedia berdepan PRU pada bila-bila masa sahaja.

Selain itu, mereka juga  berpandangan bahawa mesej yang disampaikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak itu amat jelas untuk memastikan BN bukan sahaja mampu memenangi PRU akan datang, tetapi juga mencapai kemenangan dengan majoriti 2/3 berbanding PRU yang sebelum ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau, Mohd Zambri Isa berkata, mesej yang disampaikan oleh Datuk Seri Najib hari ini diharapkan akan disebar luaskan kepada jentera-jentera di peringkat akar umbi dalam memperkukuh persediaan bagi menghadapi PRU-14 tidak lama lagi.

“Sudah tentu mesej yang diberikan oleh YAB PM tadi akan kita sampaikan ke peringkat akar umbi untuk memastikan mereka lebih bersemangat dalam menjalankan gerak kerja bagi menghadapi PRU yang akan datang ini.

“Kita akan pastikan pada PRU ini, hasrat Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO agar BN mendapat kemenangan yang lebih besar akan tercapai dan ini merupakan satu hadiah dari kami kepada beliau,” ujarnya.

Manakala menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Abdul Hafiz Syed Mustapa pula berkata, permukiman BN yang diadakan hari ini memperlihatkan semangat yang jitu di antara parti-parti komponen di mana ke semua pemimpin utama parti komponen hadir untuk mendengar amanat Pengerusi BN.

“Saya yakin mesej Perdana Menteri yang mahukan kita memberikan fokus sepenuhnya kepada PRU ini jelas dan difahami oleh semua yang hadir. Apa yang penting hari ini ialah bagaimana kita boleh mengekalkan kemenangan BN serta meningkatkan lagi jumlah kerusi yang diperolehi BN di dalam PRU yang akan datang ini.

“Satu lagi pesanan PM yang saya lihat ianya penting untuk dipraktikan di peringkat akar umbi adalah kesemua pemimpin BN perlu memberikan khidmat mereka kepada masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama, dan bukan hanya membantu kelompok tertentu sahaja.

“Dalam ucapannya tadi apa yang saya lihat Datuk Seri Najib menekankan gerak kerja parti BN untuk terus berkhidmat kepada masyarkat setempat tanpa mengira siapa dalam usaha kita untuk memenangi hati rakyat,” jelasnya.


Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohd Aris memberi pandangan bahawa pastinya cabaran dan halangan dalam menghadapi PRU-14 ini agak berbeza daripada PRU yang sebelum ini.

“Namun berdasarkan daripada reaksi kesungguhan jentera BN dan pemimpin parti komponen yang hadir dalam permukiman BN ini, dapat dilihat bahawa mereka benar-benar telah bersedia menghadapi PRU-14 tidak lama lagi.

“Dalam permukiman BN ini juga Datuk Seri Najib telah memberikan isyarat bahawa PRU-14 sudah semakin hampir dan jentera BN diperingkat akar umbi kini perlu lebih bersedia dalam apa juga keadaan serta berusaha untuk memantapkan lagi gerak kerja mereka.

“Selain itu, saya kira jentera BN di akar umbi juga perlu memperbaiki mana-mana kelemahan yang ada serta memantapkan lagi usaha mendekati pengundi di kawasan masing-masing untuk memastikan kita dapat mengekalkan kemenangan, bahkan menambah bilangan kerusi yang dimiliki oleh BN berbanding PRU sebelum ini,” ujarnya.

Menurut Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia, Haryaty Hamdzah, program Permukiman BN yang diadakan hari ini merupakan satu program penerangan yang baik dan mampu mempertingkatkan semangat jentera BN untuk memastikan kemenangan BN di dalam PRU yang akan datang.

“Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan memastikan segala gerak kerja yang dilakukan di peringkat akar umbi dapat membantu BN bukan sahaja untuk mengekalkan kemenangan tetapi untuk memastikan BN mendapat 2/3 majoriti di dalam PRU yang akan datang ini.

“Kita sedar tugasan ini amat berat bagi pergerakan puteri terutama dalam usaha kita untuk mendekati golongan wanita muda di luar sana untuk memastikan sokongan mereka kepada BN terus kekal. Kita berharap dengan gerak kerja program dan aktiviti yang kita lakukan, maka golongan muda di negara ini akan terus memilih BN untuk kekal sebagai sebuah kerajaan pada PRU yang akan datang ini.

“Insya-Allah, dengan perpaduan yang jitu yang diperlihatkan oleh anggota parti komponen BN serta gerak kerja yang mantap dan berterusan di peringkat akar umbi, saya menaruh keyakinan bahawa BN mampu untuk mencapai kemenangan majoriti 2/3 dalam PRU kali ini dan merampas semula negeri-negeri yang terlepas kepada pembangkang,” tegasnya lagi.

0 comments:

Post a Comment