Thursday 12 October 2017

Perpaduan Negara Antara Cabaran Utama Capai TN50 – Khairy


KUALA LUMPUR – Menggalakkan perpaduan lebih erat dalam kalangan rakyat Malaysia adalah satu daripada cabaran utama yang perlu diberi keutamaan dalam mencapai agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50), menurut Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Untuk tujuan ini katanya, faktor-faktor yang perlu diberi perhatian adalah sistem pendidikan negara.

Sistem pada masa ini dipersetujui oleh kaum-kaum di negara ini apabila Malaysia memperoleh kemerdekaan berdekad dahulu, katanya, dan menambah kini ramai yang merasakan ia adalah penghalang kepada perpaduan negara.

“Hari ini kita ada sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan Cina dan India serta antarabangsa.

Ia dipersetujui sebelum ini dan kita hormatinya. Mungkin, ia dapat dilaksanakan pada masa itu tetapi tidak pada masa ini,” katanya semasa dialog TN50 dengan eksekutif muda Touch ‘N Go di sini hari ini.

Khairy berkata isu perpaduan bukanlah sesuatu yang ketara seperti statistik dan kedudukan ekonomi yang boleh diukur atau dicapai dengan mudah.

“Ia melibatkan perasaan kebersamaan. Pada masa depan, kita perlu menyelesaikan masalah ini dengan dasar yang lebih baik dalam tempoh 30 tahun akan datang,” katanya.

Katanya Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai contoh negara berbilang kaum yang hidup bersama dalam suasana damai dan harmoni.

“Ini sesuatu yang perlu kita kekalkan dan terus perjuangkannya, perpaduan adalah identiti kita dan imej yang mentakrifkan Malaysia,” katanya dan menambah ini adalah satu daripada aspirasi popular yang disuarakan semasa sesi dialog TN50 yang diadakan setakat ini.

TN50, satu gagasan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah dasar futuristik yang dirumuskan untuk mencorak hala tuju negara dalam tempoh 30 tahun selepas 2020.

0 comments:

Post a Comment