Tuesday 10 October 2017

Pulau Pinang Belum Kemuka Laporan Kajian Terowong


KUALA LUMPUR: Kerajaan DAP Pulau Pinang masih belum menyerahkan laporan kajian kebolehlaksanaan jambatan ketiga atau projek terowong dasar laut di negeri itu sebagaimana dijanjikan kepada Kementerian Kerja Raya sejak 18 bulan lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, sebelum ini berjanji menyerahkan laporan kajian itu selepas menulis surat kepada beliau untuk menggantikan projek terowong kepada jambatan, April tahun lalu.

Beliau berkata, KKR tidak boleh meluluskan projek itu berdasarkan surat dua muka surat dan meminta kerajaan Pulau Pinang mengemukakan kajian terperinci kebolehlaksanaan mengenai projek tiga jalan dan terowong yang membabitkan kos RM305 juta.

Katanya, pada masa itu, pihaknya ingin mengetahui bentuk laporan projek yang menelan belanja RM305 juta kerana berdasarkan pengalaman kementerian, jumlah itu terlalu besar, malah Lembaga Jurutera Malaysia sebelum ini menyifatkan kos itu 400 peratus lebih tinggi.

"Sehingga kini, tiada laporan dikemukakan kepada saya. Selepas sedikit teragak-agak pada awalnya, Ketua Menteri Pulau Pinang kemudian memberi alasan bahawa kajian itu hanya 83 peratus siap dan berjanji ia akan disiapkan menjelang akhir tahun lalu dan akan menghantar laporan itu kepada kementerian sebaik selesai. Itu tidak berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadillah berkata, apabila isu sama dibangkitkan Mac lalu, Guan Eng mengatakan kajian itu baru 87 peratus siap dan berjanji untuk menghantarnya enam bulan kemudian.

"Sekali lagi, tarikh akhir sudah berlalu dan kami masih belum menerima sebarang laporan. Saya dapati penangguhan ini sangat luar biasa kerana projek itu sudah dianugerahkan pada April 2013.

"Tiada apa-apa projek pembinaan bermula, manakala laporan RM305 juta belum selesai sepenuhnya walaupun sekurang-kurangnya RM220 juta sudah dibayar oleh kerajaan Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata, jika keadaan sama berlaku ke atas projek kementerian, sudah tentu akan berdepan serangan dan kritikan teruk daripada pembangkang dengan pelbagai tuduhan rasuah atau kronisme seperti kritikan terhadap projek Hospital Sri Aman di Sarawak bernilai RM150 juta yang berdepan beberapa kelewatan pembinaan. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment