BALIK PULAU, 4 Okt – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Tan Sri Annuar Musa berkata, rakyat jangan terpengaruh dengan buah yang ranum dan bunga yang cantik kerana kadangkala ia beracun dan busuk.
Jelas beliau, kerana itulah rakyat harus memahami benih perjuangan sesebuah parti yang ditubuhkan sebelum memberikan sokongan yang akhirnya akan membawa kesan yang buruk.
“Apabila kuasa rakyat dipindahkan kepada pihak memerintah, maka untung nasib orang yang diperintah bergantung kepada matlamat, dasar dan program mereka yang telah mendapat mandat.
“Selain soal memerintah dan proses membentuk pemerintahan, kita harus faham apa yang terjadi umpama buah yang lahir dari pokok yang kita semai dan dari benih yang ditanam… kalau padi yang ditabur maka harus padi yang dituai, mana mungkin tanam lalang tumbuh padi.
“Jadi kalau berpolitik tanpa tahu asas maka ia akan jadi caca marba. Ramai di kalangan kita berbaju merah jadi ahli perjuangan parti sekian lama tapi terputus dari akar, hanya nampak daun, bunga dan buah, tidak memahami pokok atau cuba kenal benih pokok,” ujarnya dalam sesi bicara minda dan dialog Perjuangan4All di Balik Pulau, malam tadi.
Tambah Annuar, apa yang menjadi permasalahan sekarang ini adalah rakyat tidak memahami asas dan asal kepada sesebuah perjuangan parti sehingga terpedaya dengan permainan Dap.
Justeru kini rakyat Pulau Pinang terpaksa memakan buah dan bunga yang busuk akibat daripada tersilap percaturan.
“Kita harus melihat parti Dap ini dengan wajah sebenar mereka… mereka kata Dap adalah sebuah parti demoktratik tapi sebenarnya merekalah paling tidak demokratik.
“… kerana apa… kerana sejak dulu orang yang sama memerintah. Lepas bapa pergi ke anak pula… kita telah bertukar ramai pemimpin tapi mereka masih orang yang sama.
“Satu lagi contoh, dulu Dap cakap Pahang banjir kerana rasuah… kini dengan kuasa Allah Pulau Pinang banjir teruk maka kalau ikut cakap mereka yang dulu, sekarang ini Penang banjir sebab rasuahlah,” tegasnya lagi.
Selain itu tegas beliau, rakyat juga harus mengetahui pergaduhan awal dalam UMNO adalah kerana membincangkan bagaimana mahu bersama-sama dengan bangsa Cina dan India sehingga akhirnya masing-masing mempunyai parti sendiri dan bergabung bagi mencapai kemerdekaan tanpa ada politik perkauman.
“Perhimpunan UMNO yang pertama turut membincangkan berkaitan kerakyatan bangsa Cina dan India… jadi rakyat harus tahu UMNO itu lahir dengan turut memikirkan kepentingan orang bukan Melayu.
“Semua bangsa bergabung maka terwujudlah perkongsian kuasa… tiada politik perkauman sehinggalah Dap ditubuhkan,” terangnya lagi.
0 comments:
Post a Comment