Wednesday 4 October 2017

Syed Saddiq Dicabar Lapor Polis, Cuba Timbulkan Konspirasi Baru Dalam Politik


KUALA LUMPUR, 4 Ok – Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dicabar untuk membuat laporan polis terhadap individu yang didakwanya menawarkan RM5 juta pada sidang medianya baru-baru ini daripada cuba untuk menimbulkan konspirasi baru dalam politik tempatan.

EXCO Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, Syed Saddiq juga perlu mendedahkan nama individu tersebut jika dakwaannya itu sememangnya benar.

Namun Pergerakan Pemuda UMNO yakin Syed Saddiq hanya beretorik di sebalik dakwaannya itu umpama ‘baling batu sembunyi tangan’.

“Dakwaan Syed Saddiq yang kononnya individu tersebut turut menawarkan peruntukan membuka sekolah debat di seluruh negara jika menurut kemahuan mereka adalah sesuatu yang meragukan.

“Buatlah laporan polis, dedahkan nama individu itu jika dakwaannya itu betul dan bukan membiarkan rakyat membuat spekulasi liar yang akhirnya menjadi bahan fitnah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam hal ini, beliau menyatakan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO turut hairan dengan tindakan Syed Saddiq yang mengadakan sidang media semata-mata hendak memberitahu beliau menolak tawaran menyambung pelajaran ke Universiti Oxford di England semata-mata memilih politik, dan bukannya membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Syed Saddiq ini bukan individu penting, kalau beliau tak mahu sambung belajar, berikan tawaran tersebut kepada orang lain yang lebih layak dan memerlukan.

“Beliau baharu setahun jagung dalam politik tetapi sudah menampilkan gaya seorang yang ‘bodoh sombong’ dan tidak tahu adab apabila menyifatkan pemimpin UMNO sebagai ‘jari tengah’ atau middle finger.”

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis untuk membuka kertas siasatan terhadap dakwaan Syed Saddiq itu yang dilihat seakan sengaja menimbulkan konspirasi baharu dalam politik negara.

“Selain popular kerana penganjuran Forum Nothing To Hide 2.0 yang kecoh dan gagal baru-baru ini, beliau tiada apa-apa pencapaian membanggakan dalam politik,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa. 

0 comments:

Post a Comment