Tuesday 24 October 2017

Tanah Runtuh : Malapetaka Berterusan Angkara Sifat Bongkak Kerajaan DAP P.Pinang

 

TASEK GELUGOR, 24 Okt – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, kejadian tanah runtuh yang berlaku di tapak pembinaan cerun bukit Lembah Pantai Tanjung Bungah seharusnya menjadi satu pengajaran kepada kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Dap yang selama ini sentiasa bongkak dan sombong.

Jelas beliau, kejadian malang ini menjadi bukti inilah akibatnya andai undang-undang dan peraturan diketepikan semata-mata mahu mengaut keuntungan.

“Ini satu petunjuk bahawa apa jua keputusan yang dibuat mesti mengikut undang-undang dan diteliti… Mesti ada satu perasaan benda ini boleh menimbulkan bahaya atau tidak, bukan soal mempertahan hujan tetapi realiti apa yang bakal berlaku.

“Realitinya kini kerajaan negeri Pulau Pinang telah membuat satu keputusan yang salah dan telah memberi impak yang negatif sehingga menyebabkan kematian. Keadaan ini sekaligus menunjukkan kelemahan dalam sistem pentadbiran kerajaan negeri.

“Jadi saya berharap selepas ini kerajaan negeri belajarlah untuk mendengar teguran rakyat, NGO dan badan-badan berkaitan kerana golongan ini sentiasa memberi teguran. Sebagai contoh, isu penggondolan bukit di Bukit Bendera, syarikat terbabit hanya didenda RM30 ribu sedangkan projek yang dibuat telah diluluskan selepas mereka membayar denda… Bagaimana hal ini boleh berlaku?” ujarnya.

Tambah Shabudin, isu ini juga harus diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri agar kejadian malang di Tanjung Bungah tidak berulang lagi.

“Sebab itu jugalah banyak pihak yang bising dan menyuarakan kebimbangan apabila kerajaan negeri menarah hutan tanpa pengawasan. Walaupun berlaku sedikit demi sedikit tetapi pada akhirnya nanti akan berlaku satu penarahan bukit yang luas. Inilah risiko yang akan berlaku bila dasar-dasar kerajaan negeri tidak menetapkan secara kekal bahawa hutan-hutan tidak boleh ditebang sewenang-wenangnya.

“Kerajaan negeri patut tahu penebangan hutan dan penarahan bukit akan mengakibatkan suhu yang panas di negeri ini, menyebabkan masalah tadahan air dan ia terbukti apabila hujan lebat di beberapa kawasan akan menyebabkan banjir berlaku amat luar biasa kerana ia bukan setakat air tetapi bersama lumpur dan batu-batu ikut turun.

“Sayangnya sehingga hari ini saya tidak nampak apakah inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri bagi menyelamatkan keadaan yang membahayakan rakyat pada masa-masa akan datang,” tegasnya.

Beliau turut menempelak pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Dap selama 10 tahun ini kerana ia hanya mengundang malapetaka dek sikap sombong dan ego yang hanya mementingkan keuntungan.

“Dalam hal ini kerajaan negeri tidak boleh mengekalkan sikap tamak, degil dan tidak mahu mendengar pandangan-pandangan daripada pihak lain kononnya mereka sahaja yang betul.

“Hari ini terbukti kepada kita bahawa malapetaka ini telah menjejaskan kualiti kehidupan rakyat di negeri ini. Apa guna ada sebuah kerajaan negeri kalau tidak boleh menjamin kesejahteraan rakyat?

“Saya harap ini adalah malapetaka terakhir yang berlaku disebabkan kerakusan manusia. Oleh itu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng perlu mengambil tindakan segera selain belajar mendengar pandangan pihak ketiga,” katanya.

Guan Eng juga perlu melihat semula apa yang mereka perjuangkan selama ini semasa isu Lynas dahulu dengan menyalahkan kerajaan kononnya projek tersebut mendatangkan bahaya kepada masyarakat dan bermacam-macam tohmahan lagi dilemparkan.

“Tetapi dalam hal di negeri sendiri, mengapa mereka mengabaikan semua hal yang dibangkitkan semasa menentang Lynas dulu?” soalnya.

Untuk rekod, tanah runtuh yang berlaku di tapak pembinaan projek swasta yang sedang membangunkan bangunan kediaman mampu milik setinggi 50 tingkat sebenarnya tidak mendapat sokongan daripada Jabatan Alam Sekitar.

0 comments:

Post a Comment