Saturday, 21 October 2017

Tanah Runtuh : Pemuda UMNO Gesa Guan Eng Bertanggungjawab


BUKIT BENDERA, 21 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang menggesa Ketua Menterinya, Lim Guan Eng untuk mengambil sepenuh tanggungjawab di atas kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pagi ini tanpa menuding jari kepada pihak lain.

Ketuanya Rafizal Abd Rahim mengulangi desakan agar Guan Eng meletak jawatan berikutan kejadian malang tersebut selain berdepan dengan kes salah guna kuasa dan rasuah.

Katanya, kejadian malang ini tidak sepatutnya berlaku jika Kerajaan Negeri mendengar teguran dan nasihat daripada rakyat Pulau Pinang malah ADUN Tanjung Bungah sendiri telah beberapa kali menyatakan kerisauan beliau terhadap pengondolan bukit dan cerun di negeri terbabit.

“Jika Ketua Menteri mendengar nasihat, pandangan dan teguran kami, berkemungkinan perkara ini dapat dielakkan. Malang sekali sikap degil dan tamak Guan Eng telah mengakibatkan beberapa nyawa terkorban pada hari ini.

“Inilah akibatnya apabila keutamaan Kerajaan Negeri adalah mengaut keuntungan dan bukan menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Dalam masa yang sama, beliau juga menyampaikan ucapan takziah ke atas semua keluarga mangsa tanah runtuh terbabit dan turut berdukacita atas apa yang berlaku.

Dalam kejadian yang dilapor pada pukul 8.57 pagi ini, 14 pekerja binaan tertimbus dalam runtuhan tanah lereng bukit berhampiran projek pembinaan satu blok rumah mampu milik 50 tingkat di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini.

Sehingga 4 petang tadi, tiga mayat berjaya dikeluarkan, dua daripadanya rakyat Bangladesh manakala seorang lagi dipercayai daripada ethnik Rohingya.

0 comments:

Post a comment