Monday 2 October 2017

TLDM Di Arah Beri Kerjasama - Hishammuddin


Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah diarah memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan kematian dua anggotanya ketika mereka menjalani latihan fizikal di Lumut Perak,kelmarin.

Menteri Pertahanan , Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya berjanji tidak akan menyembunyikan sebarang perkara dan tiada sesiapa pun akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah.

"Saya konsisten bahawa tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah. Buat masa ini ,biar PDRM teruskan siasatan.

"Saya telah arah TLDM untuk beri sepenuh kerjasama kepada PDRM untuk lakukan siasatan. Tidak ada perkara akan disembunyikan.Itu janji saya," katanya menerusi Twitter beliau hari ini.

Dua anggota TLDM iaitu Laskar Kelas 1 Mohd. Baihaqy Nik Mat, 28 dan Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatulman Mohd. Sukry, 26, disahkan meninggal dunia pada pukul 3.15 petang, kelmarin selepas kedua-dua anggota tersebut mengadu kepenatan serta mengalami muntah, keletihan  dan sesak nafas.

Menurut kenyataan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee hari ini,kedua-dua anggota yang meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi di Ipoh itu dipercayai didera.

Berikutan itu, polis mengklasifikasikan kematian itu sebagai kes bunuh berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Susulan itu, polis telah menangkap tiga lelaki berumur 29 hingga 44 tahun kira-kira 9.30 malam tadi bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd. Baihaqy dan Muhammad Lailatulman atas kehilangan insan-insan yang mereka sayangi.

"Sedih dan terkilan terima berita kematian dua anggota TLDM.Takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan insan tersayang," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin ketka ditemui pemberita selapas menghadiri  majlis penutup Kejohanan Dodgeball Asia Pasifik 2017 di Arena Axiata, Bukit Jalil disini berkata, meskipun kes itu di bawah siasatan PDRM namun TLDM turut mewujudkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti individu-individu yang terlibat dan punca sebenar kejadian.

Kata beliau, pihaknya menyerahkan kes tersebut kepada PDRM untuk disiasat kerana ia melibatkan kes jenayah yang berat iaitu nyawa manusia selain ini membuktikan ketelusan agensi tersebut dalam hal-hal berkaitan anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Saya juga telah mengarahkan ATM supaya mengkaji semula prosedur operasi standart (SOP) latihan dan kursus dalam TLDM sekiranya memerlukan rombakan," katanya.

0 comments:

Post a Comment