Tuesday 3 October 2017

Usaha Kerajaan Cakna Orang Muda, Tidak Bersandarkan Kepada Populis – Pemuda


KUALA LUMPUR, 3 Okt – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Hamdan melihat pelbagai usaha serta perancangan oleh kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak bersandarkan kepada langkah populis semata-mata tetapi kepada firasat jangka panjang khususnya dalam menepati aspirasi anak-anak muda.

Menurut beliau jika kerajaan yang ada hari ini inginkan kepada pendekatan populis, tentunya perkara-perkara yang kurang popular terhadap kerajaan sepertimana pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan diwujudkan serta pelbagai perkara lain yang dijadikan bahan serangan politik oleh pihak pembangkang.

“Itulah yang saya nampak hari ini di mana usaha dan dasar kerajaan termasuklah falsafahnya bukan bersandarkan populis tetapi kepada firasat yang jangka panjang. Kalau nak popular jangka pendek…GST tentu tak buat…dan masih kekalkan cukai Sales And Sevices Tax (SST), tetapi bagaimana keadaan negara kita dan rakyatnya pada masa hadapan.

“Datuk Seri Najib berani melaksanakan pelbagai projek berskala besar termasuklah pelaksanaan MRT dan sebagainya lagi…kalau nak fikir populis jangka pendek tentulah tak buat ditambah dengan fitnah pembangkang dan macam-macam lagi…. Kerajaan hari ini melihat bagaimana mahu urus hari ini untuk hari esok dan masa hadapan generasi akan datang. Majoriti dasar kerajaan hari ini juga adalah untuk generasi muda khususnya Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Ini antara yang kita nampak dan tidak ada satu konsep sepertimana TN50…seumpama kain putih untuk ajak anak muda sama-sama melakar bagaimana acuannya untuk masa akan datang. Sama-sama kiti fikir dan kita lakarkan atas kain putih itu. Datuk Seri Najib sedar dan faham orang muda mahu mereka didengari, mahu suara mereka dijulang dan aspirasi mereka didengari.

“Itulah menerusi TN50. Kalau PM sekadar fikir nak menang pilihan raya maka beliau tidak akan buat bagaimana nak urus negara pada masa akan datang,” katanya.

Shahril seterusnya berpandangan politik menyusur akar merupakan kunci kepada kejayaan UMNO hari ini yang terus mendapat kepercayaan daripada rakyat untuk menerajui negara bersama rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

Namun begitu katanya yang juga duta Belia TN50, aspirasi orang muda atau golongan belia lebih terarah kepada bagaimana negara ini diuruskan dan juga acuan manakah yang akan menjelma pada masa akan datang dengan pemimpin yang ada menjadi sandaran.

“Kalau kita bercakap tentang sejarah, ya memang betul sejarah itu penting dan kalau buta sejarah maka kita buta jati diri, tetapi pada masa yang sama kita tidak boleh nafikan hari ini orang muda membesar dalam serba dah ada, jalan dah ada, infrastruktur dah ada, politik pembangunan yang digunakan dulu maka perlukan aplikasi yang berbeza untuk masa hadapan.”

Justeru beliau percaya segala perancangan yang dibuat oleh kerajaan hari ini boleh dianggap cakna kepada golongan tersebut, cuma pengurusan persepsi perlu diperhebatkan lagi.

“Kita di akar umbi banyak buat program hingga tidak terfikir kepada mengurus persepsi. Pembangkang pula hanya gemar manipulasi berbanding dengan kita yang kerap turun kawasan khususnya dalam melaksanakan amanah rakyat.

“Penambahbaikan dalam media sosial di dalam UMNO juga bertambah baik berbanding dulu…yang penting kita kuatkan diri kita dengan senjata fakta. Jangan terperangkap dengan mesej yang kadang-kadang tidak betul.

“Perlu semak terlebih dahulu dan bukannya terus sebar. Kita nak laju mungkin nak jadi hero namun akhirnya kita sendiri pula yang terperangkap,” katanya lagi.

0 comments:

Post a Comment