KUALA LUMPUR – Warna sebenar Pakatan Harapan diketuai DAP akhirnya diserlahkan menerusi penganjuran perhimpunan haram di Petaling Jaya, Sabtu lalu yang gagal mendapat sokongan rakyat.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun memberitahu, pada perhimpunan tersebut dapat dilihat, parti-parti di bawah pakatan berkenaan tiada pendirian kukuh, tanpa arah dan tanpa pemimpin utama.
Katanya, pemimpin pakatan tersebut pada masa sama juga berusaha mengheret rakyat ke kancah politik zaman batu.
“Apabila Malaysia cuba menangani polarisasi dalam masyarakat, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Pengerusi Pakatan Harapan) terus menerus cuba mengheret kita kembali ke dalam politik zaman batu dengan membuat serangan peribadi terhadap pemimpin negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada Sabtu lalu, perhimpunan haram Pakatan Harapan diketuai DAP yang dianjurkan di Padang Timur, Petaling Jaya hanya mencatatkan kehadiran kurang daripada 10,000 meskipun sasaran asal ialah 100,000 orang.
Mengulas lanjut, Khairul Azwan juga menegaskan, sehingga ke hari ini pakatan itu masih belum dapat memberikan jawapan yang kukuh mengenai siapa calon Perdana Menteri mereka.
“Pakatan tersebut tiada perancangan komprehensif mengenai perkara yang mahu dilakukan sekiranya mereka berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan,” jelas beliau.
Pada masa sama, Khairul Azwan mengingatkan DAP memegang jumlah kerusi terbanyak di Parlimen berbanding parti komponen lain pakatan itu.
Beliau mendakwa, Dr. Mahathir hanyalah boneka DAP yang mempergunakannya untuk memenangi hati pengundi Melayu.
“Begitu juga dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, hanya berani bertanding di kerusi kawasan selamat jajahan DAP,” ujar beliau. - utusan online
0 comments:
Post a Comment