Friday 13 October 2017

Zairil Patut Nasihat Guan Eng Contohi Dirinya Untuk Letak Jawatan


BUKIT BENDERA, 13 Okt – Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang Rafizal Abd Rahim berkata, ketua menteri negeri itu Lim Guan Eng seharusnya mencontohi Zairil Khir Johari yang meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) susulan prestasi buruk pasukan negeri selepas tersingkir daripada saingan Liga Super.

Jelas beliau, Guan Eng yang sedang berhadapan dengan kes rasuah di mahkamah juga seharusnya mengambil tindakan yang sama apabila turut mencatat rekod buruk sebagai ketua menteri.

“Saya rasa Zairil perlu menasihati Guan Eng agar mengikut jejak langkahnya yang bertanggungjawab. Banyak pihak telah menggesa Guan Eng untuk meletakkan jawatan namun sehingga kini Setiausaha Agung Dap yang belum disahkan jawatan masih membuat ‘muka tembok’.

“Inilah masanya Guan Eng mahu membuktikan mereka mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT),” ujarnya.

Kata Rafizal, Guan Eng juga harus ingat bahawa dirinya bukan sahaja telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) malah turut menambah sepuluh langkah integriti maka dia harus segera meletak jawatan ataupun bercuti.

“Sebagai seorang yang berhadapan dengan kes mahkamah berkaitan rasuah sudah pasti dia harus bertanggungjawab iaitu dengan meletak jawatan atau bercuti kerana jika tidak dia akan turut mengheret penjawat awam di negeri ini ke mahkamah.

“… dan apa yang paling penting adalah selepas menandatangani IBR maka inilah masanya juga untuk dia menunaikan ikrar tersebut bagi memerangi rasuah,” bidasnya lagi.

Guan Eng didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara jika disabit kesalahan.

Pertuduhan pertama adalah berkaitan dengan dakwaan menyeleweng kuasa bersabit permohonan menukar status sebidang tanah daripada pertanian kepada komersial.

Satu lagi tuduhan terhadap Guan Eng adalah berhubung tindakannya membeli sebuah banglo daripada seorang ahli perniagaan wanita di bawah harga pasaran.

Ahli perniagaan berkenaan Phang Li Khoon, yang menjual rumah di Jalan Pinhorn pada harga RM2.8 juta kepada Guan Eng tahun lalu. Beberapa pihak sebelum ini mendakwa banglo itu mempunyai nilai pasaran sehingga RM5 juta apabila dijual kepada Guan Eng.

Kontroversi banglo dan isu tanah itu tercetus pada 4 Mac tahun lalu apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya mendakwa Guan Eng membeli sebuah banglo jauh di bawah harga pasaran.

Beliau meminta siasatan di jalankan untuk menentukan samada pembelian itu berkait dengan penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis kepada sebuah syarikat swasta.

Phang di katakan adalah rakan niaga pemilik utama saham syarikat yang membeli tanah di Taman Manggis itu daripada kerajaan negeri pimpinan Guan Eng.

Pada 30 Jun tahun lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

0 comments:

Post a Comment