Thursday, 2 November 2017

119 Banjir Kilat Di P.Pinang Sejak 2013

 

PULAU PINANG 2 Nov. - Sebanyak 119 kejadian banjir kilat dilaporkan berlaku di negeri ini sejak 2013 hingga 15 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, jumlah itu termasuk 22 kejadian yang berlaku pada 2013, 2014 (20), 2015 (26), 2016 (30) dan 21 kali tahun ini.

Berhubung banjir kilat 15 September lalu, katanya, seramai 5,498 mangsa dilaporkan terjejas membabitkan 24 kawasan Barat Daya (665 mangsa) dan 35 kawasan Timur Laut (1,950 mangsa).

Turut terjejas, tambahnya, sebanyak 15 kawasan daerah Seberang Perai Tengah (1,854 mangsa); 14 kawasan Seberang Perai Utara (862 mangsa) dan 12 kawasan Seberang Perai Selatan (167 mangsa).

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) memberitahu, antara punca kejadian banjir itu adalah jumlah taburan hujan tinggi harian yang menyamai kapasiti bulanan.

“Selain itu, sebab lain adalah sebahagian sungai dan sistem saliran di taman dan kampung tidak dapat menampung jumlah kadar air aliran permukaan hujan lebat,” katanya dalam sidang DUN di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Shariful Azhar Othman (BN - Bertam) yang meminta kerajaan negeri menyenaraikan kawasan banjir kilat dan jumlah mangsa di negeri ini selain mendedahkan punca bencana alam tersebut. - utusan online

0 comments:

Post a comment