Sunday 5 November 2017

ATM Gerakkan Bantuan Ke Kawasan Banjir Pulau Pinang


KUALA LUMPUR, 5 Nov — Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menggerakkan anggota dan asetnya ke beberapa kawasan di Pulau Pinang bagi membantu mangsa banjir.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata bantuan  digerakkan termasuk ke Seberang Perai Utara, Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Tengah, Zon Barat Daya dan Zon Timur Laut.

“Sejak awal lagi saya telah arah ATM membantu mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang,” katanya menerusi laman facebook rasminya hari ini.

Hishammuddin berkata setakat ini, ATM telah memindahkan penduduk terlibat ke kawasan selamat, membersihkan laluan yang terhalang serta menbantu operasi pembersihan di kawasan terjejas.

“InsyaAllah, dalam keadaan ini, ATM akan terus bantu apa sahaja yang terdaya. Marilah kita sama-sama doakan, semoga keadaan di sana segera pulih seperti sedia kala,” katanya.

Hujan lebat yang melanda Pulau Pinang sejak semalam menyebabkan hampir 2,000 penduduk, 104 pesakit dan empat bayi baru lahir di Hospital Pulau Pinang (HPP) terpaksa dipindahkan.

Turut dilaporkan berlaku dua kematian melibatkan seorang lelaki berusia 75 tahun yang ditemukan lemas di dalam rumahnya di Kampung Masjid, Jalan Perak dan seorang wanita dari Pusat Penjagaan Orang Tua Jalan P. Ramlee.

0 comments:

Post a Comment