Monday, 6 November 2017

Banjir P. Pinang : Kerajaan Negeri Di Minta Tubuh Pasukan Khas Atasi Banjir


GEORGE TOWN: Pemuda UMNO Pulau Pinang hari ini meminta Kerajaan DAP Pulau Pinang menubuhkan dengan segera sebuah pasukan petugas khas untuk mengkaji dan melaksanakan sistem perparitan lebih sistematik serta terancang bagi mengelak banjir daripada berulang.

Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abd Rahim berkata kejadian banjir di negeri ini, kini seperti acara bulanan dan kewujudan pasukan berkenaan adalah diperlukan bagi mengatasi masalah tersebut.

"Banjir di Pulau Pinang sekarang menjadi acara bulanan dan amat mendukacitakan. Ia berlaku akibat kerakusan dan ketamakan Kerajaan Pulau Pinang yang terlalu mementingkan keuntungan dalam rancangan pembangunan yang terlalu pesat dan tidak terkawal lagi," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
  
Beliau turut meminta kerajaan negeri supaya memberi bantuan setimpal kepada mangsa banjir dan ribut yang melanda negeri ini, semalam.

Katanya bantuan RM400 yang dijanjikan kepada setiap keluarga mangsa banjir pada September lepas, juga harus disegerakan dan pengecualian pembayaran bil air untuk November kepada mereka yang terlibat dengan bencana banjir dan ribut itu.

"Belum pun mangsa banjir merasai RM400 yang dijanjikan kerajaan Pulau Pinang, kini mereka sekali lagi terpaksa menghadapi keadaan yang lebih teruk," katanya.

Angin kencang dan hujan lebat melanda Pulau Pinang sejak Sabtu, menyebabkan banjir yang tidak pernah berlaku di beberapa kawasan mengakibatkan lima kematian dan lebih 2,000 orang dipindahkan.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak 2 petang semalam, yang turut menumbangkan puluhan pokok.

0 comments:

Post a comment