Thursday 16 November 2017

Bantuan Banjir Kerajaan Negeri , Permainan Politik Atau Gimik ?


BUKIT MERTAJAM - Kerajaan negeri perlu menjelaskan secara terperinci kriteria mangsa banjir yang layak menerima bantuan RM700 seperti yang diumumkan sebelum ini.

Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, sehingga kini pendaftaran mangsa-mangsa banjir belum dibuat sepenuhnya malah pendaftaran yang dilakukan melalui pejabat daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga tidak dibuka sehingga hari ini.

Menurutnya, tindakan kerajaan negeri mengumumkan tambahan RM200 dari sumber derma yang mereka peroleh agak mengelirukan dan menimbulkan keresahan dalam kalangan mangsa banjir.

“Sebelum ini kerajaan negeri meluluskan bantuan khas RM500 kepada mangsa banjir dan kita berterima kasih atas bantuan yang ingin disalurkan itu, namun apa yang lebih penting saat ini, pejabat daerah dan JKM perlu segera membuka kaunter pendaftaran bukan membiarkan mangsa banjir ternanti-nanti.

“Alasan pihak pejabat daerah bahawa mereka tidak menerima apa-apa arahan daripada kerajaan negeri juga agak menghairankan.

"Bagaimana mereka boleh mengumumkan bantuan RM500 dan tambahan RM200 tanpa mendaftar jumlah mangsa banjir secara keseluruhan yang sebenarnya,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Masjid Bukit Indera Muda di sini semalam.

Mohd Zaidi berkata, timbul persoalan adakah kerajaan negeri hanya akan membantu mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sahaja atau mangsa banjir yang tidak berpindah turut layak menerima bantuan berkenaan.

Mengambil contoh di Permatang Pauh, Mohd Zaidi berkata, mengikut rekod yang diperoleh seramai 4,300 mangsa terjejas dengan kejadian banjir pada minggu lalu sebaliknya mengikut rekod JKM hanya kira-kira 400 mangsa banjir sahaja yang terlibat dengan bencana berkenaan.

“Kerajaan negeri perlu segera jelaskan kerana saya percaya semua mangsa banjir di negeri ini mengharapkan bantuan itu.

“Mereka merasakan mereka perlu segera mendaftar tetapi pejabat daerah masih tidak buka pendaftaran.

"Adakah ini satu permainan politik atau gimik yang dilakukan kerajaan negeri untuk memperdayakan rakyat Pulau Pinang?,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Ketua Menteri, Lim Guan Eng segera memperincikan mengenai bantuan berkenaan dan tidak membuat rakyat di negeri ini tertunggu-tunggu untuk mendaftarkan diri mereka kepada agensi yang berkenaan.

Mengulas mengenai bantuan diberikan Umno Permatang Pauh, Mohd Zaidi berkata, selepas seminggu banjir berlaku di negeri ini, pihaknya berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan menyampaikan bantuan kepada 4,300 mangsa banjir yang terjejas di seluruh kawasan berkenaan.

Beliau berharap dengan bantuan diberikan dapat meringankan beban mereka. - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment