Monday 13 November 2017

Bantuan Banjir ‘Pilih Bulu’ Kenyataan Nakal Untuk Keruhkan Suasana – Zaidi


PERMATANG PAUH, 13 Sept – Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said menyifatkan dakwaan sesetengah pihak kononnya bantuan yang diagihkan dalam pasca banjir yang melanda kawasan berkenaan baru-baru ini bersikap memilih bulu sebagai tanggapan nakal dalam usaha untuk mengeruhkan suasana semata-mata.

Menurut beliau hakikatnya segala bantuan yang diagihkan menerusi UMNO Bahagian terbabit adalah secara menyeluruh dan ianya sedang berjalan hingga ke hari ini dan dijadualkan, mangsa-mangsa yang terlibat akan mendapat bantuan yang sewajarnya secara berperingkat-peringkat.

“Hari ini sahaja lebih 1,000 mangsa banjir yang berjaya kita agihkan bantuan dan sejak banjir melanda UMNO Permatang Pauh telah pun aktif menggerakkan bantuan kepada mangsa yang terlibat. Secara keseluruhannya setakat ini, kita telah berjaya dan bersemuka terus dengan lebih 2,000 mangsa selain ada lagi baki lebih 2,000 mangsa yang akan kita selesaikan dalam masa dua tiga hari ini.

“Matlamat kita dalam masa tempoh lima hari banjir ini surut kita akan menyelesaikan semua bantuan kepada semua 4,000 lebih mangsa yang terlibat dalam Parlimen ini. Jadi untuk itu, kita ingin mengucapkan terima kasih kepada Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BIKUM) dan Kelab Putera 1Malaysia serta badan perhubungan UMNO negeri lain yang turut membantu termasuklah pelbagai pihak,” katanya.

Zaidi seterusnya berkata, umumnya untuk membantu mangsa banjir dan proses pemulihan sepenuhnya memerlukan tempoh yang agak panjang.

“Saya lihat keadaan mangsa yang terlibat dengan musibah banjir ini cukup trauma dan kita akan membantu sedaya upaya yang boleh dan insya-Allah jika ada lagi bantuan selepas ini tidak kiralah beberapa peringkat sekali pun maka kita akan salurkan kepada mereka yang terlibat ini.

“Selain bantuan seperti hari ini, kita juga dengan Pemuda bahagian telah menggerakkan sukarelawan dengan dibantu oleh pelbagai pihak termasuklah NGO dan sebagainya bermula daripada Jumaat untuk membantu membersihkan rumah-rumah mangsa yang terlibat dan sebagainya lagi,” katanya.

0 comments:

Post a Comment