Tuesday 21 November 2017

Bantuan Mangsa Banjir Di Politikkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang


Tasek Gelugor - Tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung bantuan kepada mangsa banjir hari ini dibidas oleh Ketua Pembangkang, YB Datuk Jahara Hamid kerana ianya jelas telah dipolitikkan.

Sebelum itu dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang berakhir baru-baru ini, kerajaan negeri Pulau Pinang begitu beria-ia sekali menyatakan bahawa bahawa bantuan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang tidak akan dipolitikkan.

Mengejutkan apabila kesemua Adun-Adun dari Barisan Nasional langsung tidak dijemput untuk hadir pada sidang akhbar yang diadakan pada hari ini sedangkan ianya dihadiri oleh  semua ADUN Pakatan Harapan dan Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri.

Jahara membangkitkan persoalan berkenaan Ketua Menteri yang telah mengumumkan bahawa permohonan untuk bantuan berjumlah RM700.00 kepada mangsa-mangsa banjir boleh dibuat oleh mangsa yang terjejas menerusi dalam talian dan perlu disokong serta diperakukan hanya oleh ADUN-ADUN kawasan masing-masing dari Pakatan Harapan. 

Di kawasan Barisan Nasional pula permohonan akan diperakukan oleh Penyelaras-Penyelaras KADUN Pakatan Harapan sahaja.

"Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri cakap tak serupa bikin dan dengan sendirinya telah menunjukkan bahawa bantuan untuk mangsa-mangsa banjir telah dipolitikkan oleh mereka sendiri.

"Pada hakikatnya kawasan-kawasan ADUN Barisan Nasional terutama di Seberang Perai Utara dan Balik Pulau juga terjejas teruk akibat bencana banjir yang berlaku pada 4 & 5 November 2017 baru-baru ini. 

"ADUN-ADUN Barisan Nasional telah turun padang untuk memantau dan membantu mangsa-mangsa banjir dan mempunyai maklumat penuh tentang mereka yang terjejas dan sepatutnya diberi kuasa juga untuk mengesahkan permohonan-permohonan yang telah dibuat" tegasnya.

Menurut Jahara lagi pusat-pusat Khidmat ADUN Barisan Nasional juga bersedia memberi kerjasama untuk membantu mangsa-mangsa membuat permohonan sekiranya diberi peluang untuk membantu tetapi ianya tidak berlaku malah Adun-Adun Barisan Nasional tidak diberi kata laluan untuk memuat turun dari sistem www.penangbangkit.com bagi menguruskan permohonan mangsa banjir. 

"Sikap dan pendirian ini amatlah dikesali dan menzahirkan dasar Kerajaan Pakatan Harapan yang menangguk di air keruh dan tidak mesra kepada rakyat MARHAIN !".

0 comments:

Post a Comment