Monday 6 November 2017

BN Bentang Usul Tergempar


GEORGETOWN: Barisan Nasional (BN) negeri hari ini, membentangkan usul tergempar berhubung tragedi banjir luar biasa yang melanda Pulau Pinang di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), tengah hari tadi.

Usul berkaitan pembayaran wang ihsan kepada mangsa banjir itu dibentangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Dr Muhamad Farid Saad.

"Bahawa Dewan yang bersidang hari ini serta-merta meluluskan Pembayaran Ihsan Khas berjumlah RM2,000 kepada setiap isi rumah mangsa banjir dan satu jumlah pampasan yang difikirkan wajar kepada sekolah, masjid, dan rumah ibadat yang terjejas.

"Pembayaran pampasan khas itu juga akan mengguna pakai wang daripada Tabung Hasil Disatukan kerajaan negeri," katanya.

Bagaimanapun, usul itu hanya didengar tanpa dibahaskan berikutan keputusan mutlak berhubung perkara berkenaan hanya boleh dibuat kerajaan negeri.

Sementara itu, Muhamad Farid ketika ditemui berkata, jumlah itu adalah memadai berbanding wang bantuan RM400 yang diumumkan kerajaan negeri pada September lalu.

"Saya tidak berhasrat untuk usul itu dibahaskan. Terlalu banyak harta yang rosak dan ia membebankan rakyat yang kurang berkemampuan.

"Saya berharap kerajaan negeri mengambil perhatian perkara ini dan mohon bantuan ini dapat disegerakan, serta diberikan terus kepada mangsa banjir tanpa melalui syarat berunsur politik," katanya.

Sidang DUN ditangguhkan sehingga 8 November bagi memberi laluan kepada lawatan rasmi Putera Wales, Putera Charles, ke Pulau Pinang esok. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment