Sunday 26 November 2017

BN Sudah Senarai Pendek Calon PRU14


Parti Barisan Nasional (BN) sudah mempunyai senarai pendek nama calon yang akan diletakkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sebagai sebuah parti yang kukuh dan mantap, BN telah membuat persiapan yang rapi bagi menghadapi pilihan raya kali ini.

“Senarai nama sudah selesai tunggu sahaja pengumuman yang akan dibuat ketika pilihan raya umum nanti.

“Kita bukan macam parti pembangkang yang kelam kabut dalam menentukan hala tuju parti dan calon yang akan bertanding nanti.

“Kita adalah parti yang kuat dan kita mempunyai persediaan yang mantap dalam menghadapi pilihan raya pada kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelepasan Komuniti Berbasikal di Putrajaya hari ini.

Tengku Adnan mengulas persediaan BN dalam menghadapi PRU-14 yang akan diadakan dalam tempoh beberapa bulan ini.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, program komuniti berbasikal itu adalah program siri ketiga pada tahun ini.

“Seramai 950 peserta akan berbasikal sejauh 12 kilometer mengelilingi Presint 14 dan 15.

“Kita sangat berterima kasih kepada pihak penganjur kerana berjaya menjayakan program sihat ini,” katanya.

Katanya, program itu akan diteruskan lagi pada 2018 kerana banyak manfaat yang diperoleh oleh warga Putrajaya khasnya dan masyarakat sekitar amnya.

0 comments:

Post a Comment