Tuesday, 21 November 2017

Golongan Muda Muslim Perlu Sedia Perancangan Untuk 30 Tahun – Khairy


KUALA LUMPUR –  Golongan muda Muslim di seluruh dunia perlu menyediakan perancangan untuk tiga dekad akan datang bagi menghadapi pelbagai cabaran yang menanti termasuk mewujudkan kerja untuk masa depan, kata Menteri dan Belia Khairy Jamaluddin.

“Transformasi Nasional 2050 (TN50) merupakan perancangan untuk 30 tahun akan datang yang telah dimulakan di Malaysia. Dan ini juga penting untuk dunia Islam, saya percaya kita perlukan perancangan untuk masa depan kita.

“Jika anda tidak bersuara sebagai golongan muda Muslim dan golongan muda di negara anda, dengan itu pemimpin anda tidak akan respons terhadap perubahan itu,” katanya semasa merasmikan Forum ‘Towards The Renascence of Muslim Future Thinkers: Vision TN50 of Malaysia “ di sini, hari ini.

Beliau berkata golongan muda Muslim perlu memikirkan tentang halangan-halangan dalam masyarakat dan bagaimana mereka akan mengendalikannya.

“Era maklumat digital akan membawa perubahan terhadap masyarakat kita, sama ada kita suka atau tidak. Sekiranya negara-negara tidak melakukan pembaharuan secara sukarela, sekiranya mereka tidak melakukan perubahan itu mulai sekarang, dengan itu mereka akan dipaksa untuk melakukan perubahan.

“Tiada negara yang kebal dengan perubahan dan pastinya tiada negara kebal dengan tekanan sosial ke arah perubahan. Perubahan itu perlu datang daripada anda semua,” katanya.

Kerajaan telah mendekati lebih 1.5 juta belia menerusi sesi Dialog TN50 sejak ia diperkenalkan pada  Januari.

Kira-kira  60,000 aspirasi golongan muda daripada pelbagai bidang dikumpulkan menerusi pelbagai saluran termasuk secara dalam talian dan interaksi bersemuka.

0 comments:

Post a Comment