Saturday 4 November 2017

Guan Eng Gagal Atasi Tiga Isu Utama Rakyat


Kerajaan negeri hanya beri tumpuan kawasan bandar

Bajet Pulau Pinang 2018 yang dibentangkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, semalam disifatkan gagal menyelesaikan tiga isu utama yang menghantui rakyat negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Pulau Betong, Datuk Dr Muhammad Farid Saad, berkata kerajaan negeri gagal merangka peruntukan untuk menyelesaikan tiga masalah itu secara holistik.

“Tiga isu utama itu ialah kesesakan lalu lintas, perumahan dan banjir kilat. Selain itu, kebanyakan perincian belanjawan ini hanya memberi tumpuan kepada kawasan bandar,” katanya.

Terdahulu, Guan Eng membentangkan bajet RM1.25 bilion dengan defisit bagi tahun kesembilan, kali ini defisit sebanyak RM748.5 juta berbanding RM667.1 juta pada tahun lalu.

Bonus tidak masuk akal

Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid, berkata pengumuman bonus RM1,000 hingga RM2,000 kepada 8,000 penjawat awam yang akan dibayar hujung tahun ini, tidak masuk akal dan bersifat populis.

“Bagaimana boleh bayar pada tahun ini, sedangkan peruntukan untuk itu dalam Bajet 2018. Tidak pernah berlaku dalam sejarah, bajet anggaran perbelanjaan tahun depan digunakan pada tahun semasa,” katanya selepas pembentangan bajet berkenaan.

Beliau turut mempersoalkan keputusan kerajaan negeri memberi pengecualian untuk lesen penjaja, sedangkan sudah banyak gerai penjaja dirobohkan sebelum ini dan masalah besar dihadapi penjaja turut gagal diselesaikan.

“Pengecualian itu juga tidak menyeluruh dan hanya ‘gula-gula’ daripada kerajaan negeri. Kerajaan negeri juga gagal menterjemahkan pelbagai perkara penting, tidak memberi keutamaan kepada golongan miskin,” katanya.

Terdahulu, Guan Eng berkata, defisit ketara dalam bajet berpunca daripada pindahan RM600 juta Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Pembangunan untuk pembiayaan projek pembangunan berjumlah RM684.97 juta.

Hasil negeri dijangka tak meningkat

“Hasil negeri bagi 2018 dijangka tidak meningkat, namun kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan dalam mengekalkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri supaya masih sama dengan anggaran tahun 2017.

“Sumber hasil kerajaan negeri terhad dan tiada punca hasil baharu, kutipan hasil daripada faedah pelaburan dijangka menurun disebabkan penurunan bayaran dividen dan kadar faedah simpanan tetap,” katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment