Friday 10 November 2017

Kerajaan Pulau Pinang Ketepi Pandangan Agensi


GEORGETOWN: Kredibiliti kerajaan DAP Pulau Pinang dipersoal selepas acap kali mengenepikan pandangan daripada jabatan dan agensi kerajaan berkaitan ketika merangka projek pembangunan di negeri ini.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid, berkata perkara itu dapat dilihat apabila pandangan agensi terbabit dalam isu pengezonan semula tanah pertanian dan bukit serta, pengeluaran lesen pusat hiburan keluarga, karaoke, snooker dan rumah urut, tidak dipedulikan.

Katanya, tindakan kerajaan negeri itu jelas membuktikan slogan 'Cekap, Telus dan Amanah' sudah terkubur, selain meletakkan nasib rakyat sentiasa dalam bahaya apabila kebanyakan premis terbabit didakwa menjalankan kegiatan haram.

"Sebanyak 121 daripada 1,279 pusat hiburan keluarga, karaoke, snooker dan rumah urut, iaitu masing-masing 644 premis di kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 635 di kawasan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), tidak disokong Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Selain itu, 842 premis sedemikian dikenal pasti beroperasi di seluruh negeri ini, iaitu masing-masing 97 premis di kawasan MBPP dan MPSP (745)," katanya pada sidang media di DUN Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mengenai pengezonan semula tanah di kebanyakan kawasan di negeri ini, Jahara berkata kerajaan negeri dalam Laporan Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) negeri terbukti turut mengenepikan pandangan agensi berkaitan.

"Laporan PAC jelas membuktikan kerajaan negeri mengetepikan pandangan agensi berkaitan ketika menukarkan status tanah berbukit kepada pembangunan dalam daerah Timur Laut.

"Kerajaan negeri pula bertindak sedemikian ketika menukar status tanah pertanian, khususnya tanah bendang dalam daerah Barat Daya, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan tanpa kelulusan Jabatan Pertanian negeri," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Dr Muhammad Farid Saad, mempersoal tindakan kerajaan negeri yang dilihat meletakkan kedudukan pandangan agensi berkaitan di suatu tahap yang samar.

"Kita khuatir jika keputusan semua pembangunan di negeri ini hanya mengambil kira pandangan Ahli Majlis yang menjadi pembuat keputusan di peringkat akhir kerana takut ia dibayangi kepentingan peribadi," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment