KUALA LUMPUR, 5 Nov — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan pusat akan membantu mana-mana negeri yang ditimpa musibah seperti banjir atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawab.
Perdana Menteri berkata kerajaan pusat akan segera menghulurkan bantuan kepada kerajaan negeri termasuk yang ditadbir parti pembangkang tanpa perlu kerajaan negeri memintanya.
Banjir teruk, yang melanda Pulau Pinang berikutan hujan lebat berterusan semalam sehingga lebih 2,000 mangsa terpaksa dipindahkan, menyebabkan Ketua Menterinya Lim Guan Eng menghubungi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada kira-kira 3.30 pagi memohon bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.
Najib berkata ATM akan memberi bantuan sewajarnya dan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sendiri akan berlepas ke Pulau Pinang petang ini.
“Segalanya akan dikoordinasikan oleh Majlis Keselamatan Negara dan kita akan membantu mangsa-mangsa banjir dan keperluan mereka akan kita tentukan,” katanya kepada sidang media selepas melancarkan misi membina dan mengendalikan hospital medan bagi membantu pelarian Rohingya di Bangladesh di sini hari ini.
Perdana Menteri turut meninjau latihan percubaan operasi hospital medan yang diadakan di Hospital ATM Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.
0 comments:
Post a Comment