Sunday 19 November 2017

Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0 Angkat Tujuh Resolusi


KUALA LUMPUR, 19 Nov – Peserta Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0 hari ini bersetuju sebulat suara ekonomi bumiputera terus ditambah baik kerajaan sebagai persediaan kepada kelangsungan kumpulan itu dalam persekitaran ekonomi global.

Ini termasuk melalui pemerkasaan industri kecil dan sederhana serta melebarkan akses mereka kepada teknologi baharu.

Perkara ini antara tujuh resolusi konvensyen tahunan berkenaan yang diadakan bagi mendapatkan input daripada pelbagai pihak dan seterusnya dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO, bulan depan.

Resolusi itu dibacakan pengerusi konvensyen Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum diserahkan kepada Naib Presiden UMNO yang juga penaung konvensyen serta Pengerusi Usul Perhimpunan Agung UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Keseluruhan 1,512 peserta yang merangkumi 50 peratus anggota UMNO dan selebihnya tokoh ekonomi, agama dan pendidikan, wakil agensi kerajaan, pemain industri, badan bukan kerajaan dan mahasiswa itu turut menggesa supaya agenda mendampingi rakyat diteruskan.

Ini termasuk pemberian subsidi langsung dan tidak langsung tanpa menjejaskan kelangsungan dan kemampanan ekonomi negara.

Konvensyen berkenaan juga mahu institusi pendidikan negara terus diperkasa dengan perhatian diberikan secara menyeluruh kepada setiap aliran termasuk Teknikal, Vokasional dan Latihan (TVET) dalam menghadapi Revolusi 4.0.

Peserta turut menyokong inisiatif kerajaan dalam mentransformasikan pendidikan negara bertaraf dunia dengan menempatkan institusi-institusi pengajian tinggi negara dalam kalangan Komuniti Dunia.

Konvensyen yang dibahagi mengikut pembentangan kluster ekonomi, pendidikan, agama dan politik turut menyeru supaya UMNO terus istiqamah dalam menegakkan, mempertahankan dan mengembangkan Islam berorientasikan manhaj Malaysia yang berteraskan prinsip wasatiah dan maqasid syariah demi kelansungan bangsa, kestabilan dan keharmonian negara.

Selain itu, peserta menggesa UMNO supaya menterjemahkan prinsip ‘kewujudan bersama’ dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama bagi menjamin keamanan dan kestabilan negara.

Konvensyen turut mahu kuasa dominan politik Melayu-Islam terus dipertahankan dalam sebarang bentuk kerjasama politik.

Terdahulu, Asyraf berkata konvensyen itupenting dalam menyampaikan hasrat masyarakat di peringkat akar umbi ke peringkat lebih tinggi dan resolusi akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO untuk membentuk resolusi akhir dan seterusnya digerakkan menjadi pelbagai program dan dasar parti.

0 comments:

Post a Comment