Friday 3 November 2017

Kos Laluan Basikal Pulau Pinang Terus DiPertikai, LGE DiMinta Jawab Persoalan


BUKIT BENDERA – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abd Rahim membidas kenyataan Ketua Menteri negeri itu Lim Guan Eng yang mencabar pihak yang tidak berpuas hati dengan projek membina laluan basikal yang dijangka menelan kos RM30 juta supaya membawa perkara berkenaan untuk siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Rafizal, memang benar seperti kenyataan Guan Eng bahawa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) hanya membelanjakan sebanyak RM4.6 juta daripada kos sebenar kerana ia dibiayai oleh syarikat pemaju hartanah swasta namun ada dua perkara yang menjadi persoalan.

“Pertama, mengapa kosnya terlalu mahal sedangkan berdasarkan anggaran kos membina lorong basikal yang sama panjang di Amerika Syarikat, sepatutnya kos membina laluan basikal di Pulau Pinang hanya menelan belanja sebanyak RM6 juta sahaja, dan bukannya RM30 juta, itupun berdasarkan 60 peratus kadar mark-up.

“Kedua, mana mungkin syarikat pemaju mengeluarkan kos yang begitu besar tanpa ada timbal balik. Lagi pula jika kita melihat lorong basikal yang dicat berwarna hijau yang berkongsi dengan laluan pejalan kaki itu, ianya boleh mengundang bahaya kerana keluasannya terhad.

“Jadi, dengan hasil kerja yang ‘asal ada’ ini, tidak mungkin kosnya mencecah RM30 juta. Atau mungkin ada perjanjian yang tersirat dan mendatangkan keuntungan kepada Dap maka ia diluluskan walau pada hakikatnya Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sendiri telah mengakuinya sebagai satu kesilapan,” ujar Rafizal.

Tambah Rafizal, jika mengambil contoh laluan basikal di Kuala Lumpur, kosnya jauh lebih murah malah keluasan dan keselesaannya amat baik.

“Jika kita bandingkan harga pembinaan lorong basikal di Kuala Lumpur dan di Pulau Pinang, ternyata ianya amat berbeza.

“Sudahlah harganya jauh berbeza, kualitinya juga ibarat langit dan bumi, maka, Pemuda Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang menjawab isu ini.

“Jika kerajaan negeri masih ‘kong kali kong’ maka kami akan menyahut cabaran Guan Eng untuk membawa perkara ini kepada SPRM,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment