Saturday 18 November 2017

Mereka Yang Kini Fitnah Datuk Seri Najib Adalah Orang Yang Pernah Ditolongnya Dulu – Rosmah


KUALA LUMPUR, 18 Nov – “Mereka yang kini menuduh, memburuk dan memfitnah Datuk Seri Najib adalah mereka yang pernah Datuk Seri tolong dulu,” ujar isteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Datin Seri Rosmah Mansor.

Jelas beliau, mereka yang menfitnah Najib seakan tidak mempunyai perasaan dan tidak tahu dosa pahala sehinggakan sanggup melemparkan pelbagai tuduhan walaupun mengetahui kebenaran.

“Tapi tak apalah… kami suami isteri redha. Saya sentiasa berdoa agar mereka yang menfitnah ini Allah tunjukkan jalan yang benar kepada mereka.

“Saya pun terkena tempias sebagai isteri Perdana Menteri… pasal berlianlah… bunuh orang lah.. bomohlah… tapi nak buat macam mana… dah nasib saya,” ujarnya dalam ucapan perasmian Majlis Tahunan Bersama Penaung Skuad sayang Kebangsaan 2017 di PWTC hari ini.

Kata Rosmah yang juga merupakan Penaung Skuad Sayang Kebangsaan, Datuk Seri Najib sentiasa menyuruhnya bersabar kerana ini adalah asam garam dunia politik.

“Mereka fitnah saya macam-macam… kalau betul saya teruk sangat sudah pasti suami campak saya dulu… tak perlu orang luar suruh, dia sendiri dah buang saya tapi syukur Alhamdulillah hingga kini kami masih bahagia,” ujarnya berseloroh.

Dalam ucapannya, beliau turut mengharapkan agar Skuad Sayang dapat membantu parti dalam menepis fitnah yang berleluasa kerana Wanita mampu memainkan peranan di peringkat akar umbi bagi menyampaikan kebenaran.

Majlis tahunan ini merupakan program tradisi Pergerakan Wanita UMNO setiap tahun menjelang Perhimpunan Agung UMNO sejak ia dijayakan buat pertama kali pada tahun 2011.

Skuad Sayang adalah satu entiti dalam Wanita UMNO yang mengurus dan menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat, kebajikan dan respon pantas membantu situasi kecemasan di seluruh negara.

Sejak penubuhannya lapan tahun yang lalu, Skuad Sayang melalui Projek Sayang telah bergerak secara efektif atas platform Ziarah Sayang, Salam Sayang, Misi Sayang dan Jelajah Sayang.

0 comments:

Post a Comment