Thursday 30 November 2017

PAU Ke-71: Pemuda UMNO P.Pinang kemuka 3 usul


GEORGETOWN: Isu berkaitan skim perumahan belia dan harga penjualan petrol dijangka dibangkitkan perwakilan Pemuda UMNO Pulau Pinang pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Ke-71 yang dijadual berlangsung pada 5 Disember hadapan.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Rafizal Abd Rahim, berkata ia selaras dengan peningkatan kos sara hidup yang dihadapi semua masyarakat di negara ini, khususnya golongan belia yang berdepan pelbagai cabaran era globalisasi.

"Bagi usul skim perumahan belia, Pemuda UMNO negeri akan memohon agar Kerajaan Persekutuan menjalin kerjasama dengan kerajaan DAP Pulau Pinang bagi memastikan ia dapat direalisasikan, sekali gus membantu mengurangkan kos hidup golongan berkenaan.

"Ini kerana, kita melihat kerjasama kedua-dua kerajaan terjalin erat ketika berdepan isu banjir besar di negeri ini, sejak 5 November lalu. Justeru, ada baiknya ia diperluaskan lagi bagi kepentingan sejagat," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Seramai 5,739 perwakilan dijangka menghadiri perhimpunan selama lima hari yang bermula 5 Disember ini, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Rafizal berkata, perwakilan Pemuda UMNO negeri juga akan menggesa Kerajaan Persekutuan mewujudkan mekanisma mengawal harga penjualan petrol yang dilihat semakin memberi tekanan, khususnya kepada golongan belia.

"Pemuda UMNO negeri melihat isu ini sangat kritikal dan memerlukan penyelesaian segera, khususnya bagi golongan muda yang terikat dengan pelbagai komitmen dalam kehidupan masing-masing.

"Justeru, wajar untuk Kerajaan Persekutuan mengkaji mekanisma mengatasi masalah kadar harga penjualan petrol ini, sekali gus mengurangkan bebanan ditanggung rakyat di negara ini," katanya.

Mengulas lanjut, Rafizal berkata, Pemuda UMNO negeri akan mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan mengkaji pembatalan kadar tol bagi motosikal berkuasa 200 cc ke bawah yang melalui Jambatan Pulau Pinang .

"Kami yakin bahawa kadar konsesi diterima pemaju selama 32 tahun sudah mampu menampung kos pembinaan Jambatan Pulau Pinang. Malah, kebanyakan pengguna motosikal 200 cc ke bawah adalah daripada golongan belia," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment