Thursday 23 November 2017

PAU2017 Perlu Jadi Platform Dekati Belia


PULAU PINANG - Perhimpunan Agung UM­NO 2017 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 5 hingga 9 Disember ini diharapkan menjadi platform kepada semua perwakilan negeri 'menggali' masalah rakyat terutamanya usa­ha untuk mendapatkan semula sokongan golongan belia.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Rafizal Abdul Rahim berkata, antara aspek yang perlu diberi penekanan semasa perhimpunan itu adalah mengkaji kaedah pe­netapan harga petrol yang menyumbang peningkatan kos sara hidup dan skim perumahan untuk golongan muda di bawah 40 tahun.

Menurutnya, kesemua perkara tersebut perlu dilaksanakan secara holistik termasuk bekerjasama dengan kerajaan negeri seperti yang diperlihatkan dalam misi bantuan pascabanjir kepada Pulau Pinang baru-baru ini.

“Kebanyakan Pemuda marah dengan kenaikan harga minyak yang berterusan dan mereka sa­lahkan kerajaan Persekutuan ko­nonnya tidak menanganinya, jadi UMNO perlu campur tangan untuk memastikan masalah ini tidak berlarutan.

“Kita juga harap ‘medan’ kali ini tidak dijadikan pentas lawak semata-mata tetapi turut membincangkan isu perumahan untuk golongan muda bawah 40 tahun dan masalah yang sering dihadapi rakyat yang memerlukan kerjasama wakil UMNO dan kerajaan negeri masing-ma­sing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri, Mohamed Muzaidee Mohamed Ali berkata, pihaknya berharap ada wakil yang mencadangkan sekurang-kurangnya 40 peratus golongan muda UMNO bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Ini kerana bagi beliau, usaha itu untuk membolehkan lebih ramai pemimpin muda diketengahkan dan dipercayai menjadi jalan terbaik mendekati golongan sasaran yang diyakini menjadi pengundi majoriti untuk negara dalam jangka masa panjang.

Selain itu katanya, pihaknya berharap perhimpunan itu juga akan terus menjadi wadah yang membincangkan peningkatan tahap kualiti pendidikan di negara ini bagi memastikan setiap pe­mimpin masa hadapan mempunyai pendidikan berkualiti setan­ding negara maju.

“Pemimpin dan pendidikan tidak boleh dipisahkan, malah kerajaan perlu pentingkan aspek ini supaya lebih ramai berpeluang melanjutkan pendidikan ke pelbagai peringkat, baharulah negara kita boleh maju dengan penemuan dan penyelidikan,” jelasnya. - utusan online

0 comments:

Post a Comment