Friday 17 November 2017

Pemilihan Dap: Bukan Sahaja Filem Hollywood, Mungkin Bollywood Atau Filem Melayu


KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng tidak seharusnya menyalahkan mana-mana pihak berhubung arahan diadakan pemilihan semula Jawatankuasa Pusat parti berkenaan baru-baru ini kerana ianya bermula daripada ahli mereka sendiri.

Justeru bagi Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, Guan Eng perlu melihat kembali segala tindakannya sebelum ini dalam melaksanakan proses pemilihan sehingga terdapat ahli yang tidak berpuas hati dan membuat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Kalau ada ahli yang tidak berpuas hati dengan proses pemilihan maka perkara ini akan berulang… bukan sahaja boleh jadi filem hollywood,malah mungkin bollywood atau filem Melayu atau apa sahaja boleh berlaku.

“Jadi saya ingat Guan Eng kena lihat kembali kejujuran mereka dalam melaksanakan proses pemilihan sebelum menyalahkan pihak lain yang menjadikan mereka aktor di dalam filem-filem yang dikatakan oleh beliau sendiri itu,” katanya.

Sebelum ini, memetik laporan, Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng menyifatkan apa yang berlaku kepada parti itu sehingga mengadakan pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) baru-baru ini, seperti sebuah filem hollywood.

“Tidak ada parti-parti politik lain di Malaysia yang dipaksa mengadakan pemilihan CEC sebanyak tiga kali (2012,2013 dan 2017) dengan menggunakan senarai wakil yang sama. Kita macam beku pada 2012 dan buat pemilihan semula (lebih daripada) empat tahun kemudian. Ini amat karut sekali.

“Kita ingat hanya boleh berlaku dalam filem hollywood. Apa yang kita anggap tidak boleh berlaku, sedang berlaku di Malaysia sekarang,” katanya dalam ucapan pada kongres khas DAP bagi pemilihan semula CEC, di Shah Alam.

Zaidi seterusnya menegaskan pemilihan telah pun berlalu dan mereka perlu menyelesaikan segala permasalahan yang timbul tanpa mempolemikkan mana-mana pihak.

“Kemelut ini bermula daripada ahli-ahli mereka sendiri yang tidak berpuas hati..yang mengadu kepada ROS. Beliau tidak boleh tuding jari ini salah pihak itu…ini salah orang ini. Sepatutnya mereka menyelesaikan masalah dalaman mereka sendiri daripada menuding jari kepada mana-mana pihak,“ katanya.

0 comments:

Post a Comment