Sunday 19 November 2017

Pemuda UMNO Perlu Agresif Dekati Pengundi Baharu-PM Najib


PEKAN, 19 Nov – Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) mahupun UMNO di seluruh negara perlu lebih agresif dan kerja kuat untuk mendekati pengundi baharu bagi memastikan kemenangan besar kepada parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN berkata jumlah pengundi muda dan baharu di seluruh negara kian meningkat termasuk di Pekan sendiri yang memerlukan sayap parti itu mengatur gerak di kawasan masing-masing untuk meraih dan memperkukuhkan sokongan.

“Di Parlimen Pekan, contohnya, terdapat 23,000 pengundi muda berusia 20 hingga 40 tahun termasuk yang kali pertama mengundi. Jadinya, jentera pilihan raya Pemuda UMNO dan BN perlu sentiasa dekati dan fahami mereka.

Mesti jaga secara bersemuka, mesti jaga Facebook juga, Telegram mesti jaga, WhatsApp, kenali mereka dengan pergi rumah ke rumah, kunjungi mereka, jabat tangan mereka, mereka sakit, senang atau susah kita jentera BN tampil bantu.

Kita tidak mahu tentera yang cuai, mengelat, tidak ada disiplin, yang lesap dan longlai. Kita perlukan pemuda yang sanggup bekerja bersungguh-sungguh, siang dan malam sehingga ke tengah malam,” katanya semasa berucap merasmikan Pemukiman Jentera Pemuda BN Parlimen Pekan di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Semarak, Tanjung Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Pekan Datuk Shahruddin Ahmad selain 1,200 Pemuda BN Parlimen Pekan yang menyertai program pemukiman selama dua hari itu sejak semalam.

Najib yang juga anggota Parlimen Pekan berkata BN sentiasa peka dengan kehendak orang muda berbanding sebuah parti pembangkang yang menipu penyokong muda kononnya mewujudkan satu sayap khas untuk mereka, namun sebenarnya tidak terkandung dalam perlembagaan parti itu.

“Kerajaan kita yang ditunjangi UMNO dan BN juga adalah kerajaan untuk orang muda. Orang muda hendak berharap pada siapa? Pembangkang? Mereka juga berpecah belah dan tipu kata ada Armada dalam perlembagaan, tapi sebenarnya tiada.

“Di pihak sana, orang muda sudah marah. Mereka buat perlembagaan mahu ikut UMNO tetapi tak mampu nak melaksanakannnya. Akhirnya ada orang yang terkontang-kanting,” katanya.

Armada yang merupakan sayap pemuda kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kebelakangan ini menghadapi konflik dalaman selepas dikatakan ia tidak dinyatakan dalam perlembagaan parti itu.

Perkara itu merupakan satu daripada tiga kesalahan yang dilakukan PPBM sehingga parti itu berdepan kemungkinan dibatalkan pendaftarannya oleh Jabatan Pendataran Pertubuhan (ROS).

Sementara itu, Najib turut melahirkan rasa bangga dan teruja melihat semangat yang ditunjukkan pemuda BN Pekan dan berharap supaya semangat perjuangan itu diteruskan sehingga tamat pilihan raya umum.

0 comments:

Post a Comment