KUALA LUMPUR Nov – Pergerakan Pemuda UMNO akan memberikan tumpuan dan perhatian kepada persiapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) yang bermula 5 hingga 9 Disember ini.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, selain persiapan PRU14, Pemuda juga akan menjelaskan tentang pilihan yang ada pada pengundi muda sama ada nak kekal bersama Barisan Nasional (BN) ataupun memilih lawan (pembangkang).
“Saya telah minta supaya kita dapat memberi gambaran apa yang akan jadi kepada negara kita sekiranya terus bersama BN berbanding dengan apa yang boleh terjadi sekiranya pihak lawan dipilih untuk menjadi kerajaan.
“Mesejnya ialah pilihan raya ini adalah pilihan raya yang serius, yang akan menentukan bukan sahaja penubuhan kerajaan tetapi juga menentukan masa depan negara kita.
“Kita di persimpangan jalan yang serius dengan segala transformasi atau gangguan yang bakal melanda negara kita dan juga dunia, bukan sahaja teknologi tetapi juga perubahan demografi dan sebagainya, kita perlukan kerajaan yang ada track record dan ada perancangan, bukan hanya mementingkan kemenangan janga pendek sahaja,” ujarnya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO Pergerakan Pemuda UMNO di sini petang tadi.
Katanya, Pemuda UMNO juga akan mengangkat dua isu, bukan sahaja untuk PAU2017 tetapi juga sebagai gerak kerja Pemuda selain dari gerak kerja pilihan raya.
“Satu adalah untuk membantu usaha kerajaan menangani agenda sosial. Satu institut, agensi baru ditubuhkan iaitu SERI dan Pemuda akan bekerjasama rapat dengan agensi tersebut bagi membantu dalam kes-kes jenayah remaja, kes ponteng sekolah, kes gejala sosial yang lain, dadah dan sebagainya.
“Kita lihat ini sebagai cabaran utama untuk TN50, kita tidak mahu ada anak muda Malaysia yang ketinggalan, yang tersisih daripada arus pembangunan perdana,” ujarnya.
Keduanya, kata beliau, Pemuda UMNO ingin menjuarai isu kesihatan mental, sebab ini menjadi satu isu yang melanda anak muda pada hari ini.
“Tekanan psikologi, tekanan mental, buli adalah satu ancaman yang hebat, bukan sahaja buli secara fizikal tetapi buli secara emosi, secara psikologi, buli siber juga semakin menjadi ketika ini dan kecaman yang terlalu banyak secara online dan sebagainya.
“Jadi dua isu ini akan Pemuda juarai, akan kita perjuangan sebagai isu-isu yang rapat dan menjadi kebimbangan orang muda pada hari ini,” tambahnya lagi.
0 comments:
Post a Comment