Saturday 11 November 2017

Pulau Pinang Sebuah Negeri Yang Gagal


KUALA LUMPUR, – Selama ini Dap menuduh Malaysia sebuah negara yang gagal di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), kini tuduhan tersebut terpalit ke muka sendiri apabila bencana demi bencana yang menimpa Pulau Pinang membuktikan bahawa negeri pimpinan Dap itu adalah sebuah negeri yang gagal.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terpaksa mengakui apa yang terjadi di negeri itu adalah atas faktor kelemahan pentadbiran Dap yang selama ini sentiasa bersikap sombong dan angkuh.

“Banyak pihak telah menegur pentadbiran Dap yang hanya dilihat mementingkan keuntungan tanpa memikirkan risiko pada masa hadapan… malah seringkali mereka mengeluarkan kenyataan yang bongkak kononnya mereka jauh lebih baik daripada BN.

“Jika diimbas kembali, pada 15 Disember 2013, Guan Eng begitu angkuh mengeluarkan kenyataan mampu menyelesaikan masalah banjir dalam tempoh satu penggal sahaja. Begitu juga ADUN Tanjong, Ng Wei Aik yang mengeluarkan kenyataan pada tahun 2008 mampu selesaikan masalah banjir dalam tempoh 9 bulan sahaja.

“Tetapi kita lihat apa yang terjadi sekarang ini. Sejak Dap mengambil alih pentadbiran negeri Pulau Pinang pada 2008, tahun demi tahun banjir di negeri itu semakin memburuk. Sejak 2011, sudah RM38 juta dibelanjakan kerajaan Dap Pulau Pinang untuk atasi banjir. Dalam Bajet 2017 menerusi duit kerajaan pusat, RM150 juta lagi diberikan untuk atasi banjir. Ke mana hilang semua duit ini?,” ujarnya.

Tambah Annuar, bukan isu banjir sahaja yang menjadi bukti negeri Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang gagal di bawah pentadbiran Dap, kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah yang meragut 11 nyawa juga adalah salah satu bukti bagaimana disebabkan kerakusan kerajaan negeri menarah bukit mencari keuntungan telah membawa bencana.

“Pembangunan tanpa kawalan yang dilakukan oleh kerajaan negeri telah membawa musibah yang besar kepada rakyat negeri Pulau Pinang.

“Tetapi Guan Eng harus bersyukur kerana Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak dan Timbalannya, Datuk Sri Ahmad Zahid Hamidi telah menunjukkan sikap berjiwa besar dengan menolak tepi fahaman politik demi membantu rakyat di negeri itu.

“Sikap jiwa besar ini juga telah dicontohi oleh seluruh kepimpinan dan jentera BN yang turut sama membantu mangsa banjir di negeri itu. Orang yang selama ini Dap cerca dan hina, kini menghulur bantuan tanpa ada sedikitpun ungkitan,” jelasnya lagi.

Justeru ujar Annuar, kepimpinan pembangkang harus belajar daripada BN bagaimana untuk berjiwa besar dan jangan hanya berpolitik setiap masa.

Berikut antara fakta kegagalan Dap mentadbir Pulau Pinang;

1. Berkaitan penarahan bukit, banyak pihak termasuk NGO telah menyuarakan kebimbangan mereka tentang kerakusan kerajaan negeri dalam menarah bukit juga pembinaan rumah di lereng-lereng bukit namun ia tidak dipedulikan.

2. Tanah di negeri itu habis digadai. Ada tanah dijual tanpa tender dan kepada syarikat kroni. Laporan Ketua Audit Negara menyatakan perolehan yang Guan Eng dapat menerusi jualan tanah, 2008 hingga 2015 adalah sejumlah RM1.22 billion. Sejak 2008, aset dan tanah yang Guan Eng jual dan gadai sudah bernilai RM37 billion.

3. Hutang kerajaan negeri melonjak tinggi.
Mana ada kurang hutang sampai 95% seperti yang didakwa Prof Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. Hutang kerajaan Pulau Pinang sebanyak RM655 juta telah diubah kepada bayaran ansuran selama 45 tahun. Hutang tidak kurang 95% tetapi makin bertambah. Tidak cukup dengan itu berhutang lagi dengan China Exim Bank.

4. Pelaburan makin kurang. Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, MIDA pada April 2017 menunjukkan penurunan sebanyak 30% pelaburan ke Pulau Pinang. Pada Januari hingga Ogos 2016, pelaburan ke Penang hanya berjumlah RM3.77 billion berbanding RM5.34 billion pada tahun 2015.

5. Kerajaan Pulau Pinang berada dalam keadaan defisit. Setiap tahun sejak 2011, Guan Eng membentangkan bajet defisit enam tahun berturut turut. Pada 2011, defisit sejumlah RM108 juta. Pada 2017, defisit bajet berjumlah RM667 juta. Bajet defisit tetapi peruntukan untuk Pejabat Ketua Menteri Guan Eng bertambah setiap tahun.

6. Pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang lembab. Purata gaji pekerja di Pulau Pinang sejumlah RM2,434 adalah dibawah gaji purata nasional, RM2,463. KDNK Pulau Pinang adalah ke-4 paling rendah di Malaysia antara tahun 2008-2015. Pendapatan isirumah rakyat Pulau Pinang adalah yang ke-4 terendah di Malaysia.

7. Pelbagai caj dikenakan kepada rakyat. Surcaj air naik 4 kali sejak DAP memerintah Penang. Satu-satunya negeri yang mengenakan caj parking sampai waktu tengah malam adalah di Pulau Pinang. Cukai katil, caj plastik 20 sen, cukai pintu naik 14.29% pada 2015, sewa warung naik dan harga rumah naik. Inilah padah yang rakyat Pulau Pinang dapat.

8. Ini adalah antara bukti jelas menunjukkan Dap telah gagal tadbir Pulau Pinang. Guan Eng telah jadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang gagal sepenuhnya.

0 comments:

Post a Comment