Saturday 18 November 2017

Reezal Merican Ketuai Deligasi Malaysia Ke Mesyuarat ASEM Ke -13 Di Myanmar

PUTRAJAYA, 18 Nov – Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan mengetuai delegasi Malaysia Menteri-menteri Luar Asia-Eropah Ke-13 (ASEM FMM13) di Nay Pyi Taw, Myanmar dari 20 hingga 21 Nov.

Wisma Putra dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata beliau akan diiringi oleh pegawai kanan kementerian ke mesyuarat tersebut yang dijangka menerima pakai Kenyataan Pengerusi ASEM FMM13 sebagai hasil mesyuarat.

Ia menambah Kenyataan Pengerusi akan menggariskan usaha dan langkah-langkah yang akan diambil oleh rakan anggota ASEM dalam meningkatkan perkongsian ASEM sedia ada, mempromosi usaha damai dan pembangunan lestari serta mencorakkan masa depan ASEM.

“Penyertaan Malaysia pada ASEM FMM13 ialah sebagai penegasan komitmennya yang berterusan kepada ASEM, termasuk mengukuhkan kerjasama dengan rakan-rakan anggota ASEM,” kata kenyataan itu.

Wisma Putra berkata Reezal Merican juga dijadualkan menyampaikan kenyataan bertemakan “Synergizing Peace and Sustainable Development” pada Sesi Pleno Pertama ASEM FMM13, dan mengadakan mesyuarat dua hala dengan ketua-ketua delegasi yang lain di luar mesyuarat untuk membincangkan isu-isu kepentingan bersama.

ASEM FMM13 yang bertemakan”Strengthening Partnership for Peace and Sustainable Development”, akan menyaksikan menteri dan ketua delegasi membincangkan tentang pentingnya sinergi ke arah keamanan dan pembangunan mampan untuk menjadikan perkongsian ASEM lebih dinamik ke arah mempromosikan pertumbuhan dan kemakmuran inklusif antara Asia dan Eropah.

Ditubuhkan pada 1996, ASEM adalah platform untuk dialog dan kerjasama berdasarkan perkongsian yang saksama di bawah tiga teras utama iaitu bidang politik, ekonomi dan sosio budaya.

ASEM telah membuktikan sebagai forum yang unik bagi membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjejaskan keamanan dan keselamatan termasuk sebagai saluran untuk meningkatkan kesalinghubungan dalam semua bidang antara kedua-dua rantau.

ASEM mempunyai 53 rakan terdiri daripada 21 negara Asia dan 28 negara anggota Kesatuan Eropah, dan dua organisasi serantau iaitu Kesatuan Eropah dan Sekretariat ASEAN.

0 comments:

Post a Comment