Sunday 19 November 2017

Resepi BN Urus Negara Perlu Dipertahankan Untuk Generasi Akan Datang


KUALA LUMPUR, 19 Nov – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir.Idris Harun berkata resepi utama UMNO dan Barisan Nasional (BN) menguruskan negara hari ini perlu dipertahankan agar apa yang telah dicapai hari ini terus berpanjangan dan terus memberi limpahan manfaat kepada generasi akan datang.

Menurut beliau menguruskan sebuah negara yang berbilang bangsa dan berlainan agama bukanlah satu perkara yang cukup mudah namun Alhamdulillah, negara hari ini berada di dalam kekuatan tersendiri dengan kesatuan yang padu dikalangan rakyat antara satu dengan yang lain.

“Macam mana kita perintah hingga negara hari ini sehingga berada di dalam kekuatan tersendiri. Perpaduannya cukup sejati. Golongan muda yang akan memimpin Generasi TN50 nanti mesti berpegang kepada konsep kehidupan kesatuan, perpaduan dalam kepelbagaian. Yang pastinya hari ini tidak ada parti lain di dalam negara kita ini boleh mentadbir maslahat kehidupan ini seperti yang ditadbir oleh UMNO dan BN.

“Itu sebab apabila orang kata dan melihat bagaimana Malaysia dengan masyarakat berbilang bangsa dan agama tetapi ianya boleh ditadbir dengan baik kerana generasi kita terdahulu masa nak merdeka mereka letakkan satu ayat kepada kita…nak kekal berkuasa kita mesti ada keupayaan formula utama untuk menyatupadukan di antara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 2.0, di dalam sesi pembentangan kluster politik, di sini, hari ini.

Turut menjadi ahli panel, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah manakala Ahli Majlis Tertiinggi UMNO, Datuk Seri Rezal Merican Naina Merican, sebagai moderator.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO seterusnya menambah pilihan raya umum akan datang akan menguji sejauh mana pengukuhan kerjasama antara parti di dalam BN.

“Ini akan menjadi platform untuk kita lancar kepada generasi TN50. Ini akan jadi ibu dan juga bapa kepada pilihan raya berbanding pilihan raya sebelum-sebelum ini. Keduanya..PRU ini juga adalah menguji populariti Tun Dr Mahathir dan kaitannya dengan politik Malaysia.

“Sesetengah pembangkang mengharapkan Dr Mahathir adalah harapan mereka untuk menumbangkan UMNO dan BN. Ironinya dulu mereka ini bermati-matian untuk ‘hancurkan‘ Mahathir…hari ini mereka pula bermati-matian mempertahankan Dr Mahathir. Nampak tak manhaj perjuangan parti pembangkang ini,“ ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Idris seterusnya berkata toleransi di dalam BN adalah yang terbaik dan perkara itu dapat dilihat dalam pengagihan kerusi.

“Ya…kita boleh bercakap soal angka dan jumlah peratusan masyarakat namun akhirnya di penghujung kita mencari persamaan dan mengecilkan perbezaan. Ini dia semangat toleransi di dalam BN dan insya Allah UMNO parti terbaik di dalam mengurus tolak ansur,“ katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Datuk Seri Ismail Yaakob berkata pelbagai ‘succes story‘ telah dicapai dan dilaksanakan oleh kerajaan hari ini untuk rakyat namun masih berbangkit ketidakpuasan hati dan perkara berkenaan adalah perkara biasa kerana keperluan manusia sentiasa berubah.

Mengambil contoh Felda katanya, dulu pada awal-awal ditubuhkan adalah untuk generasi pertama yang mensasarkan untuk pembasmian kemiskinan di luar bandar.

“Dahulu ianya adalah untuk generasi pertama sahaja…untuk basmi kemiskinan pada peringkat awal namun hari ini berubah. Generasi kedua juga perlukan pembelaan iaitu rumah generasi kedua.

“Sebab itu perjuangan Felda juga berubah. Keperluan dan kehendak berubah mengikut keadaan semasa dan sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kita sentiasa melakukan perubahan…cuma ada yang masih tidak berpuas hati. Hakikatnya kerajaan beri segala-galanya kerana mereka ini lebih percaya berita palsu daripada kebenaran,“ ujarnya.

0 comments:

Post a Comment