Monday 20 November 2017

Semakan Keputusan Tuntutan Batu Puteh : Pemuda UMNO Kecam Tuduhan PM Singapura


KUALA LUMPUR, 20 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Perdana Menteri Singapura semalam yang memperlekeh permohonan Malaysia untuk semakan keputusan terhadap tuntutan ke atas Batu Puteh.

Menurut Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin, tuduhan Lee Hsien Loong bahawa kononnya niat sebenar tuntutan Malaysia ini adalah kerana pilihan raya umum (PRU) merupakan tuduhan tidak bertanggungjawab yang boleh merosakkan hubungan baik di antara Malaysia dan Singapura.

“Untuk makluman Perdana Menteri Lee Hsien Loong, semasa penemuan fakta baharu pada Ogos 2016, pilihan raya Malaysia masih belum diumumkan.

“Pemfailan pada 2 Februari 2017 pula dibuat bagi memberi masa penyediaan dokumen dalam tempoh masa enam bulan yang diberikan.

“Sebagai peringatan, Parlimen Malaysia masih belum dibubarkan sehingga hari ini, lebih setahun dari tarikh penemuan fakta baharu tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Justeru ujar Menteri Belia dan Sukan itu lagi, memang mudah untuk meraih sokongan politik dengan membuat tuduhan kepada negara lain seperti mana yang dibuat Lee Hsien Loong dengan kenyataan beliau ini yang dibuat semasa konvensyen parti PAP.

“Namun tidak seperti beliau, Malaysia memandang serius isu kedaulatan sepanjang masa dan bukan semata-mata untuk meraih sokongan semasa pilihan raya atau konvensyen politik sahaja.

“Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia telah memfailkan permohonan berkenaan pada 2 Februari 2017 berdasarkan penemuan fakta baharu melalui tiga dokumen di dalam Arkib Negara United Kingdom pada 4 Ogos 2016.

“Keputusan membuat permohonan ini dalam masa enam bulan selepas penemuan fakta baharu adalah hak yang diberikan dan dipatuhi oleh Malaysia,” katanya.

Dengan tegas Khairy juga menyatakan bahawa permohonan ini dan permohonan kedua yang dibuat pada 30 Jun 2017 untuk pentafsiran penghakiman bukan dibuat secara sambil lewa tanpa asas yang kukuh.

1 comments:

  1. Benarkah dakwaan AG pada waktu itu dirasuah untuk sengaja membiarkan Malaysia kalah dalam isu Pulau Batu Putih? SPRM perlu siasat.

    ReplyDelete