Saturday, 11 November 2017

Semua Mangsa Banjir Di Pulau Pinang Akan Dibantu – Shahidan


TASEK GELUGOR, – Kerajaan Persekutuan akan menangani isu yang dihadapi oleh semua mangsa banjir di Pulau Pinang termasuk mereka yang tidak berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata kesemua mereka sama ada berpindah atau tidak memerlukan bantuan kerana rumah ditenggelami air dan menyebabkan kerosakan harta benda.

“Orang tidak pindah juga memerlukan bantuan, kelengkapan mereka rosak…semuanya akan ditangani dan akan diurus dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sekolah Agama Nyiur Sebatang, baru-baru ini.

Beliau berkata banjir yang dianggap terburuk dalam sejarah Pulau Pinang itu melibatkan 12,559 orang mangsa dan pihaknya kini membuat anggaran kerosakan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir.

Shahidan berkata apa yang penting dalam tempoh pasca banjir ini ialah membantu mangsa-mangsa banjir membersihkan kediaman mereka serta memastikan tidak berlaku wabak penyakit bawaan air.

Sehubungan itu, beliau berkata pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan, parti-parti politik kerajaan dan pembangkang serta sukarelawan telah menggerakkan anggota masing-masing di kawasan terlibat bagi membantu mangsa-mangsa banjir membersihkan kediaman mereka.

“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah membekalkan jet air yang cukup untuk membantu di semua tempat yang memerlukan. Jika ada tempat yang orang takut nak masuk rumah bimbang ada ular, maklumkan kepada APM, kami akan selesaikan masalah itu,” katanya.

Beliau turut meminta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat menguruskan dengan baik segala bantuan yang diterima dari pelbagai pihak serta memastikan bantuan sampai kepada mangsa banjir.

0 comments:

Post a comment