4 NOV: Tentera siber UMNO perlu bergerak lebih pantas menangkis persepsi negatif yang menjurus kepada pembunuhan karakter pemimpin yang kini giat dijalankan oleh pakatan pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang persepsi negatif yang timbul harus diuruskan dengan segera kerana jika ia tidak diatasi dengan baik tidak mustahil seorang pemimpin atau kerajaan boleh dijatuhkan.
“Cuba kita lihat berapa ramai pemimpin, kerajaan dan parti politik yang tenggelam kerana persepsi yang tidak diuruskan dengan baik.
“Jika persepsi tidak diatasi dengan segera dan hanya dijawab tiga atau empat bulan kemudian, lihat sahaja apa yang telah bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga lakukan terhadap PAS apabila dia tuduh PAS terima wang RM90 juta daripada Perdana Menteri dan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Media Sosial UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden itu berkata, pembangkang dilihat semakin menjadi-jadi bukan hanya mempersoal dasar dan pentadbiran parti pemerintah.
Tambahnya budaya jelik dan buruk itu berkembang dalam masyarakat apabila berita palsu seolah-olah dapat diterima dengan mudah.
Sehubungan itu Ahmad Zahid turut mengingatkan tentera siber UMNO agar memastikan rakyat merasai keberadaan tentera ini sebagai wira Barisan Nasional apabila segera menepis fitnah-fitnah yang ditabur pembangkang.
”Malaysia terjebak sebagai antara negara tertinggi di dunia mempunyai peratusan penduduk yang aktif dalam media sosial, membabitkan 62 peratus daripada populasi.
“Ia memberi kesan terhadap pola pemikiran rakyat yang memerlukan usaha lebih proaktif untuk menangani persepsi secara intelektual, pendekatan psikologi dan cita rasa yang disesuaikan dengan kumpulan sasar,” katanya lagi.
Dalam dunia yang semakin berubah kata Ahmad Zahid sistem komunikasi konvensional turut beralih daripada komunikasi bersemuka dan lisan kepada komunikasi tanpa lisan.
“Persepsi yang wujud harus diurus dengan baik dan mustahil dengan sistem komunikasi konvensional iaitu lisan atau bersemuka dapat menanganinya dengan baik.
“Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO adalah wira yang sentiasa berada di garisan hadapan untuk menguruskan persepsi kerana pendapat umum atau ‘mahkamah pendapat umum’ lebih berkuasa daripada mahkamah biasa,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kegagalan menangani persepsi menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tenggelam pada dua PRU lalu yang akhirnya terpahat sebagai sejarah negara.
“Kita mahu pada PRU-14 kali ini apabila Perdana Menteri memberikan bajet terbaik, semua aspek diambil kira dari segi keterangkuman, apabila seluruh jentera diintegrasi dengan sebaik-baiknya, kita akan memberikan hadiah kemenangan dengan majoriti dua pertiga, Insya-Allah.
“Allah menguji kita dua kali, ujian ini adalah ujian terakhir untuk kita. Jika kita gagal kali ini, lupakan segala-galanya,” katanya.
Konvensyen Media Sosial UMNO bertujuan memberi penerangan mengenai kepentingan, etika media sosial dan gerak kerja yang lebih berkesan kepada penggiat media sosial UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Beliau turut melahirkan kekagumannya dengan sambutan luar biasa yang diterima oleh penggiat media sosial terdiri daripada Biro IT UMNO.
Sehubungan itu beliau melahirkan keyakinan dengan kerjasama padu yang diberikan oleh tentera siber UMNO ini mampu beri kemenangan 2/3 pada Pilihan Raya Umum ke-14.
“Jika kita gagal kali ini lupakan segala-galanya.
“Namun saya yakin intergrasi kita lakukan dengan sebaiknya untuk menjawab semua isu dengan bersepadu dan kita akan capai kejayaan yang sebenarnya,” ujarnya lagi.
Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Biro Teknologi Maklumat (IT), Datuk Ahmad Maslan dalam ucapannya memaklumkan telah menubuh beberapa kumpulan Whatsapp dalam usahanya merancakkan lagi gerak kerja media sosial menjelang PRU14.
0 comments:
Post a Comment