Ucapan Presiden dan bahas setiap pengusul dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 akan lebih menjurus ke arah persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Menurut Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor perkara itu adalah berikutan PAU kali ini adalah yang terakhir sebelum menjelang PRU.
Katanya ia sekaligus akan membincangkan dengan lebih mendalam tentang persiapan itu selaras dengan semangat PAU kali ini iaitu menanamkan ‘winning mentality’ serta azam kemenangan PRU ke-14 dalam diri semua ahli.
“Saya yakin ucapan Presiden adalah ke arah PRU ke-14. Datuk Seri Hishammuddin selaku Pengerusi Jawatankuasa usul akan bertemu dengan semua pengusul negeri yang kita lihat fokusnya adalah menjurus kepada PRU ke-14,” katanya pada sidang media Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Rabu.
Menurut Tengku Adnan lagi, setakat ini lebih 90 peratus persiapan telah dilakukan dan akan disiapkan sepenuhnya sebelum Selasa ini.
Turut dibuat pembaharuan kali ini adalah, PAU kali ini akan bertempat di Dewan Merdeka, PWTC dan sistem ‘paperless’ akan digunakan bagi mengurangkan penggunaan kertas.
“Mengikut era pembaharuan dengan sekarang digital kita nak kurangkan penggunaan kertas. Jadi perwakilan takkan terima buku penyata, yang terima hanyalah Ketua Bahagian sahaja kerana itu adalah keperluan kepada mereka.
“Yang lain mereka boleh lihat segala perkembangan melalui media UMNO Online,” jelasnya.
Selain itu, UMNO juga akan menggunakan Sistem Pengenalan Diri Frekuensi Radio (RFID) yang menggunakan teknologi seperti peranti Smart Tag bagi mengesan ketulenan setiap pas pengenalan diri perwakilan, pemerhati dan pengamal media.
Bagi PAU 2017, daripada jumlah keahlian 3.5 juta orang, seramai 63 peserta daripada 14 negara telah mengesahkan kehadiran, 51 perwakilan UMNO luar negara dari 82 kelab, 50 mahasiswa dari 20 Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, 60 orang peserta MANTAP serta 5,739 perwakilan.
Bagi media pula sebamyak 48 media berdaftar untuk media cetak dan elektronik bakal membuat liputan kali ini.
Tengku Adnan dalam masa yang sama turut mengingatkan bahawa penubuhan UMNO adalah bagi memastikan hak negara dan bangsa terbela.
“Kita bukan tubuhkan parti ini untuk suka-suka atau kepentingan diri atau kerana kecewa dengan parti lain.
Kita akan akur dengan perlembagaan parti dan kita juga akan akur dengan kehenda Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS),” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment