BALIK PULAU, 17 Nov – UMNO Balik Pulau akan memperkenalkan satu aplikasi bagi memudahkan para usahawan kecil di Parlimen itu memasarkan produk mereka.
Anggota Parlimen Balik Pulau Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata aplikasi yang sedang dibangunkan itu akan dapat dimuat turun menerusi telefon pintar yang dijangka akan diperkenalkan sebelum akhir tahun ini.
“Aplikasi ini sebagai pemudah cara kepada usahawan dan peniaga kecil di Parlimen Balik Pulau yang berdaftar di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia, Tabung Ekonomi Usahawan Niaga (TEKUN) dan Persatuan Ibu Tunggal memasarkan produk yang mereka ada.
“Kadang-kadang peniaga kecil-kecilan ini tak tahu macam mana nak jual barangan mereka ke pasaran luar. Sebagai contoh mereka ada tiga kilogram ikan jadi mereka boleh mengiklankannya menerusi aplikasi ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Usahawanjaya Balik Pulau, di sini hari ini.
Beliau berkata sebagai permulaan aplikasi ini akan diperkenalkan untuk para usahawan di Parlimen Balik Pulau dan ia akan diperluas ke kawasan lain jika mendapat sambutan menggalakkan.
Sementara itu, Dr Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata kementerian telah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir di negeri ini selain banjir di pantai timur.
Beliau berkata pasukan perubatan memang sudah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan itu dan pihaknya akan mengerahkan pasukan dari negeri lain sekiranya diperlukan.
“Kami sememangnya sudah bersedia. Pasukan perubatan, bekalan ubat-ubatan semuanya berada pada tahap mencukupi. Kami juga turut melakukan kawalan penyakit sepanjang musim banjir. Ini semua perkara biasa yang kami lakukan setiap kali berlaku banjir,” katanya.
Mengulas mengenai kejadian banjir di negeri ini, Dr Hilmi berkata semua hospital dan dua klinik yang terjejas akibat banjir kini telah beroperasi seperti biasa.
“Kerugian yang kami alami juga adalah pada tahap minimum kerana hospital dan klinik yang terjejas hanya dinaiki air banjir pada paras yang rendah dan tidak menjejaskan peralatan dan bekalan ubat-ubatan yang ada di situ,” katanya.
Hujan lebat yang bermula pada 2 petang Sabtu lalu dan berterusan sehingga pagi Ahad menyebabkan Pulau Pinang lumpuh dilanda banjir, yang turut mengorbankan tujuh nyawa.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 6 Nov lepas mahu kesiapsiagaan 100 peratus bagi menghadapi gelombang kedua dan ketiga perubahan cuaca yang dijangka berlarutan sehingga Februari depan.
0 comments:
Post a Comment