Saturday 9 December 2017

100 Ahli DAP Keluar Parti Petanda Keruntuhan ‘Dinasti Lim’ – Zainal Abidin


KUALA LUMPUR – Tindakan bekas ADUN Jawi, Tan Beng Huat  bersama – sama 100 orang ahli dan penyokong parti DAP kawasan Nibong Tebal, Pulau Pinang keluar parti hari ini jelas menunjukkan bahawa mereka sudah mula berubah rasa dengan kepimpinan DAP sekaligus menandakan keruntuhan kepada ‘Dinasti Lim’.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, beliau sama sekali tidak terkejut dengan pengumuman tersebut memandangkan sepanjang 9 tahun pemerintahan DAP di Pulau Pinang, parti tersebut tidak membawa kebaikan, sebaliknya hanya mengundang kemudaratan.

“Bagi saya, ia adalah permulaan kepada keruntuhan Dinasti Lim oleh DAP. Jika mereka gagal untuk membendung masalah yang berlaku dalam parti mereka, tidak mustahil lebh ramai lagi ahli yang akan turut keluar parti.

“Di Pulau Pinang, sejak DAP memerintah, jangan kata nak cari 100 orang keluar parti DAP, nak cari seorang pun susah. Dengan tersebarnya isu 100 orang ahli DAP keluar parti ini, ia jelas menandakan bahawa penyokong DAP telah mula berubah rasa.

“Mereka mula memikirkan bahawa mungkin perjuangan mereka (bersama DAP) selama ini telah menjadi sia – sia kerana sepanjang DAP memerintah dalam 9 tahun, kebaikan yang mereka harapkan hanya mendatangkan kemudaratan.  Banyak masalah yang timbul bila DAP pegang kuasa,” katanya ketika ditemui pemberita di Laman Media PAU 2017 di PWTC, hari ini.

Dalam pada itu, Zainal Abidin turut menyifatkan tiga parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk PKR, Parti Pribumi Bersatu Bumiputera Malaysia (PPBM) serta PAN tidak lebih dari sekadar ‘boneka’ kerana DAP secara jelas mengakui bahawa mereka hanya memerlukan 20 ke 30 peratus sokongan masyarakat Melayu dari ketiga parti berkenaan, manakala selebihnya adalah dari penyokong DAP. - klxpres



0 comments:

Post a Comment