Friday 29 December 2017

2017 Tahun Paling Malang Buat Pulau Pinang


GEORGETOWN - Tarikh 5 November 2017 mungkin tidak dapat dilupakan penduduk Pulau Pinang apabila negeri bawah pimpinan DAP itu lumpuh sepenuhnya akibat banjir, yang disifatkan sebagai paling buruk dalam sejarah negeri itu.

Banjir kilat dengan air seperti ‘teh tarik’ setiap kali hujan lebat boleh dikatakan perkara biasa bagi penduduk di Pulau Mutiara, ada yang mengatakan ia kerana sistem tebatan banjir yang tidak dapat menampung keperluan dan ada yang menyalahkan  penggondolan bukit untuk projek-projek pembangunan.

Apapun, kejadian banjir pada 5 November itu boleh dikatakan kemuncak apabila kesemua  lima daerah iaitu Timur Laut, Barat Daya di bahagian pulau serta Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di tanah besar ditenggelami air.

Hujan lebat hampir 17 jam berserta angin kencang menyebabkan puluhan jalan ditutup, ribuan rumah ditenggelami air, ratusan pokok tumbang, tanah runtuh di beberapa kawasan dan tujuh nyawa terkorban.

Kejadian yang dikatakan luar biasa itu menyebabkan Ketua Menteri Lim Guan Eng memohon bantuan daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membantu mangsa banjir di negeri itu.

Kurang dua bulan sebelum banjir besar itu, Pulau Pinang telah beberapa kali dilanda banjir kilat dengan yang paling teruk pada 15 September melibatkan 119 kawasan terjejas, juga di semua daerah negeri itu.

Boleh dikatakan selang sebulan Pulau Pinang dilanda banjir kilat iaitu pada 21 Januari di Nibong Tebal, 4 Mac yang menyebabkan 10 kawasan di bahagian pulau ditenggelami air dan pada 13 Mei pula turut berlaku banjir melibatkan beberapa kawasan di bahagian pulau.

Kemudiannya, pada 14 Julai seorang mangsa maut terjatuh ke dalam longkang besar apabila keretanya terperangkap dalam banjir kilat di jalan Sungai Ara, Bayan Lepas, banjir pada 15 Ogos melibatkan sekitar kawasan Teluk Bahang dan Penaga dan 9 Sept pula di kawasan Nibong Tebal.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri  Chow Kon Yeow pada sidang Dewan Undangan Negeri memberitahu bahawa Pulau Pinang menghadapi 119 kali banjir kilat sejak 2013 hingga 15 Oktober 2017.

Pulau Pinang bukan sahaja sinonim dengan banjir kilat, tetapi juga tanah runtuh apabila kekerapan kejadian tanah runtuh juga menyamai dengan kejadian banjir kilat.

Setiap kali hujan lebat dan banjir kilat, pasti akan berlaku kejadian tanah runtuh sama ada kecil atau besar, antaranya pada 14 Julai apabila hujan lebat turut menyebabkan tanah runtuh di Taman Lau Geok Swee, Paya Terubong sehingga menimbus sebuah tokong di lereng bukit.

Kebimbangan banyak pihak kemungkinan kejadian tanah runtuh akan mengorbankan banyak nyawa akhirnya menjadi kenyataan apabila 11 tertimbus dalam kejadian di tapak projek pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah pada 21 Oktober lepas.

Kejadian pada 8.57 pagi di tapak projek itu meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan, lima Bangladesh, dua Indonesia, dua Myanmar dan seorang Pakistan apabila ditimbus tanah lereng bukit yang runtuh.

Kemungkinan berlaku insiden tidak diingini di tapak kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah itu telah dikemukakan sebanyak dua kali kepada kerajaan negeri Pulau Pinang oleh gabungan pertubuhan masyarakat Penang Forum, sejak awal tahun ini.

Kali pertama perkara itu dibangkitkan oleh Penang Hill Watch (PHW) ialah pada Januari dan kali kedua pada Mei, memohon agar projek itu dihentikan kerana khuatir  berlaku runtuhan tanah.

Penang Forum memulakan PHW, iaitu inisiatif komuniti untuk menyalurkan maklumat mengenai pemotongan bukit yang diperoleh daripada masyarakat  kepada kerajaan negeri.

Selain banjir dan tanah runtuh, Oktober 2017 juga menyaksikan kemalangan ngeri membabitkan dua bas kilang, masing-masing membawa pekerja kilang Sony dan kilang Plexus serta sebuah van kilang yang mengorbankan lapan nyawa dan 23 yang lain cedera.

Kesemua mereka yang terbunuh dalam kejadian awal pagi di Kilometer 147 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara berhampiran Plaza Tol Juru itu ialah lapan wanita pekerja kilang, yang ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerja, tujuh daripada mangsa ialah rakyat Indonesia.

Kemalangan pada 24 Oktober di hadapan Institut Teknikal Malaysia-Jepun itu dikatakan berlaku apabila sebuah daripada bas kilang itu mengalami kerosakan enjin dan berhenti di kiri jalan sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah lagi bas kilang menyebabkan bas yang rosak itu tertolak ke kanan lebuh raya. –Bernama

0 comments:

Post a Comment