Monday 11 December 2017

JKP Bakal Bina 10,000 Lagi Rumah Mampu Milik


GEORGETOWN - JKP Sdn Bhd (JKPSB) menyasarkan  untuk membina 10,000 lagi unit perumahan mampu milik di seluruh negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata JKP yang merupakan agensi di bawah kerajaan persekutuan akan membina rumah berkenaan sejurus mendapat kelulusan daripada kerajaan Pulau Pinang.

"Kita akan bina 10,000 rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik untuk rakyat negeri ini melibatkan kawasan di bahagian pulau dan tanah seberang. Setakat ini tanah, konsultan semua sudah ada, apabila kerajaan Pulau Pinang beri kelulusan kita akan laksanakan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci Pangsapuri Bayu Tiara di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata JKP turut memohon kerajaan persekutuan  menyegerakan kelulusan untuk membina tambahan 10,000 unit rumah mampu milik di tanah milik Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu di bawah Jabatan Perikanan.

"JKP juga akan membina tambahan 10,000 lagi unit perumahan di kawasan Batu Maung yang merupakan tanah milik kerajaan. Kini kita sedang menunggu kelulusan daripada Kabinet untuk memulakan projek ini.

“Saya sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang (MTPNPP) berharap kerajaan persekutuan akan menyegerakan kelulusan kepada 10,000 unit apartmen kos rendah, sederhana rendah  dan mampu milik di atas tanah milik kementerian berkenaan," katanya.

Mengenai Pangsapuri Bayu Tiara, Zainal Abidin berkata pangsapuri berkenaan mempunyai 412 unit keseluruhan, dengan 220 unit berkeluasan 900 kaki persegi dijual dengan harga RM266,000 hingga RM298,000.

Sementara, 192 unit lagi dengan keluasan 800 kaki persegi dijual bermula daripada harga RM233,000 hingga RM259,000.

Beliau berkata harga bagi pangsapuri berkenaan adalah murah memandangkan lokasinya berada di kawasan pulau dan strategik.

"Jika dapat pangsapuri dengan kemudahan ada kolam renang, dewan dan surau di kawasan pulau ini memang boleh dikatakan murah harganya. Di kawasan ini harga rumah boleh mencecah RM500,000 ke RM600,000, tapi di sini kita jual bawah RM300,000 .

"Walaupun JKP pada dasarnya boleh menjual rumah ini dengan harga RM300,000 dan bina pada keluasan sama, ia masih dibenarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang  dan kerajaan negeri kerana di Pulau Pinang di bahagian pulau, kerajaan negeri menetapkan  pangsapuri kos sederhana  dan pangsapuri mampu milik boleh dijual pada harga RM400,000 dan ke bawah.

“Tetapi  kita jual pada harga RM150,000...jauh  lebih murah daripada harga yang ditetapkan. Ini kerana menjadi hasrat JKP untuk membina lebih banyak rumah mampu milik kepada Bumiputera dan sebahagian besar pembeli kita hari ini adalah Bumiputera," katanya.

Dalam pada itu Zainal Abidin menggesa agar pembeli rumah berkenaan mendiami rumah terbabit dan tidak menjualnya kerana ia adalah pelaburan mereka. –Bernama

0 comments:

Post a Comment