KUALA LUMPUR - Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Jasmin Noordin mempersoalkan apakah Dap sebuah parti yang mempunyai prinsip, apabila parti tersebut menjalinkan kerjasama dengan Tun Mahathir setelah pelbagai kecaman yang telah dilontarkan oleh pemimpin Dap terhadap bekas Perdana Menteri itu sejak berpuluh tahun lamanya.
Menurut Jasmin, di dalam satu ceramah Lim Guan Eng ketika bersama pakatan rakyat dulu, beliau pernah berkata bahawa Tun Mahathir sudah tidak boleh diharapkan lagi untuk terus memimpin kerana usianya yang sudah lanjut, serta mendakwa Tun Mahathir telah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk mengkayakan anak-anaknya.
“Sebab itu saya nak tanya Dap, adakah mereka ini sebuah parti yang mempunyai prinsip? Saya ada terbaca baru-baru ini kenyatan Lim Guan En bahawa MCA patut keluar dari BN, seperti mana Dap berpisah dengan Pas kononnya kerana prinsip.
“Sepatutnya Guan Eng bertanya diri dan partinya sendiri, adakah beliau dan Dap mempunyai prinsip apabila bekerjasama dengan seorang pemimpin yang pernah mereka katakan tidak layak memimpin serta menyalah gunakan kuasa ketika memerintah?
“Dalam ceramah itu, Lim Guan Eng mendedahkan anak Tun Mahathir, mempunyai harta sebanyak RM2.7 Bilion di zaman pemerintahannya dan lebih kaya daripada Tan Sri Vincent Tan. Kata Guan Eng, Tun Mahathir maha takut kalau Pakatan Rakyat memerintah negara, kerana sudah pasti anak Tun Mahathir akan disoal bagaimana beliau boleh kaya sedemikian rupa.
“Hari ini, sudahkah beliau menemui jawapannya? Adakah beliau berani untuk menyoal Tun Mahathir tentang harta kekayaan anaknya itu? Bukan sekadar nak soal, bahkan hari ini, Guan Eng bersama bapanya, Lim Kit Siang boleh pula bekerjasama dengan orang yang didakwanya menyalahgunakan kuasa untuk mengkayakan keluarganya? Prinsip apakah yang Dap pakai sebenarnya? Atau Dap ini sebenarnya langsung tidak ada prinsip dalam berpolitik?,” soalnya tegas.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang klip video ceramah Lim Guan Eng ketika Pakatan Rakyat sebelum dibubarkan ekoran pertelingkahan Dap dengan Pas yang kini tular di aplikasi whatsapp dan facebook.
Jelas Noordin, inilah pendekatan politik parti pembangkang yang jelas langsung tidak mempunyai prinsip perjuangan serta sanggup melakukan apa saja demi meraih kuasa, walaupun terpaksa menjilat ludah mereka sendiri.
“Apakah pembangkang tidak sedar, bahawa tindak tanduk dan gerak geri politik mereka kini diperhatikan oleh rakyat? Apakah pembangkang rasa rakyat mudah diperbodohkan dengan alasan-alasan yang tidak masuk akal apabila mereka terpaksa menjilat ludah mereka sendiri, terutama Dap dan PKR apabila mereka menjalinkan hubungan kerjasama politik dengan Tun Mahathir?
“Saya yakin, rakyat kita cerdik untuk menilai, parti mana yang sebenarnya bermain politik dengan mempergunakan rakyat demi kepentingan peribadi mereka, dan parti mana yang menjadikan politik sebagai wadah dan jalan perjuangan mereka untuk membina sebuah negara yang makmur demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment