Thursday 7 December 2017

Malaysia Takkan Setuju Usaha Jadikan Baitul Maqdis Sebagai Ibu Negara Israel Sampai Bila-Bila – Najib #PAU2017


KUALA LUMPUR, 7 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan bahawa negara Malaysia tidak akan sekali-kali menyokong tindakan Amerika Syarikat yang mahu menjadikan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel seperti yang diumumkan oleh Presiden Donald Trumph baru-baru ini.

Beliau turut menjelaskan, pendirian yang dibuat itu adalah kukuh dan kekal sampai bila-bila demi nasib umat Islam Palestin yang telah ditindas dan ditekan hampir 60 tahun lamanya.

“Minggu ini kita dikejutkan dengan cadangan Amerika Syarikat untuk mengiktiraf satu daripada tiga tanah suci Umat Islam, yakni Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel di mana saya yakin dan percaya, mana mungkin kita sebagai umat Islam dapat menerimanya sampai bila-bila.

“Makanya, saya selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, mengajak para pimpinan parti, para perwakilan, ahli-ahli yang hadir, di dalam dan di luar sana, serta semua di mana sahaja anda berada, untuk bangun dan menzahirkan pendirian kita yang selantang-lantangnya, agar dunia mendengar gema suara umat Islam Malaysia, bahawa kita menolak sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Isreal sampai bila-bila.

“Sesungguhnya UMNO tidak pernah dan tidak akan sesekali berkompromi dengan apa-apa jua hal yang melibatkan penghinaan ke atas kesucian dan tingginya agama Islam serta Syiarnya, bukan sahaja di tanah air ini, bahkan di seluruh pelusuk dunia,” tegasnya dalam ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka hari ini.

Najib kemudiannya meminta perwakilan untuk sama-sama berdiri dan melaungkan ‘Allahu Akbar’ dan ‘Hidup Palestin’ sebagai tanda solidariti dan sokongan umat Islam di negara ini buat negara tersebut.

Kerajaan Malaysia juga sentiasa melaksanakan pelbagai usaha dalam merapatkan hubungan antara dua kumpulan pejuang terbesar Palestin iaitu parti Hamas dan Fatah, demi menyatupadukan kesatuan mereka untuk membela umat Islam di negara tersebut.

Bahkan, jemputan terhadap kedua-dua kumpulan pejuang Palestin iaitu Hamas dan Fatah dalam Perhimpunan Agung UMNO membuktikan bahawa kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak amat komited untuk membela nasib saudara seIslam dan menolak kekejaman rejim Zionis.

Malah, kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza beberapa tahun lalu turut menyaksikan beberapa bentuk bantuan telah diberikan kepada rakyat di Palestin termasuk sumbangan dana untuk membina semula sekolah dan hospital di negara yang bergolak itu.

0 comments:

Post a Comment