Tuesday 26 December 2017

Malaysia Tidak Terkesan


KUALA LUMPUR - Tekanan daripada kuasa besar dunia terhadap negara-negara berdaulat bagi memastikan mereka membisu dalam isu Baitulmuqaddis tidak memberi sebarang kesan terhadap Malaysia.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Wisma Putra akan tetap menyuarakan pendirian tegas kerajaan dan aspirasi rakyat untuk terus menyokong perjua­ngan Palestin dengan berlandaskan prinsip serta undang-undang antarabangsa.

Menurut beliau, Kementerian Luar juga bersyukur dengan keputusan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) hari ini yang menegaskan bahawa sebarang langkah menjejaskan status Baitulmuqaddis adalah terbatal.

“Melalui resolusi ES-10/19 yang diluluskan oleh Sidang Ter­gempar Khas UNGA Ke-10 Mengenai Palestin, semua negara telah diminta untuk menghentikan penubuhan kedutaan di Baitulmuqaddis.

“Malaysia bukan sa­haja salah satu daripada 128 negara yang mengundi menyokong resolusi tersebut, malah merupakan antara negara yang menaja usul berkenaan untuk dipersetujui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Reezal Merican berkata, apa yang lebih pen­ting, Malaysia merupakan salah satu daripada 16 negara yang te­lah diberi peluang untuk berucap dan menyampaikan pendirian semasa sidang tergempar tersebut.

Beliau menambah, Si­dang Tergempar Khas UNGA Ke-10 Mengenai Palestin sebenarnya me­rupakan usul yang digerakkan oleh Malaysia sejak 1997.

“Ketika itu, kita telah mewujudkan meka­nis­me tersebut apabila melihat Majlis Keselamatan PBB tidak menjalankan tanggungjawabnya untuk menghentikan penempatan haram Israel, termasuk di Baitulmuqaddis,” jelasnya. - utusan online

0 comments:

Post a Comment