Wednesday 6 December 2017

‘Mentaliti Negaraku Memperkasa Wanita Ke Arah Kecemerlangan’ – Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO Malaysia


UCAPAN DASAR KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2017

MENTALITI NEGARAKU MEMPERKASA WANITA KE ARAH KECEMERLANGAN

Pembukaan
Bismillah Hir Rahman Nir Rahiim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh Salam Negaraku, Salam 1 Malaysia

YBhg Puan Pengerusi Tetap Pergerakan PUTERI UMNO Malaysia
YAB / YB Wakil Majlis Tertinggi UMNO Malaysia
YBhg Naib Ketua Pergerakan PUTERI UMNO Malaysia
YB Penolong Setiausaha Pergerakan PUTERI UMNO Malaysia
YBhg Ketua Penerangan Pergerakan PUTERI UMNO Malaysia
Y. Berusaha Pen. Bendahari PUTERI UMNO Malaysia
YB / YBhg Barisan Exco dan Ketua Pergerakan PUTERI UMNO Negeri-Negeri
Yang Dialukan Para Mantan Ketua Pergerakan PUTERI UMNO Malaysia
Yang dikasihi Para Perwakilan Sekalian
Turut Dialukan Para Pemerhati, Dif-Dif Jemputan & Rakan-Rakan Media Yang Dikasihi

Merpati putih terbang melayang,
Hinggap sebentar di pohon merpati;
Selamat Datang Perwakilan ku sayang,
Ke Persidangan PUTERI UMNO saban tahun di nanti.

Arjana Bangsa Semangat Revolusi,
Tak akan goyah sama sekali;
Rumah agam UMNO pusaka pertiwi,
Himpunan wanita muda UMNO yang sejati.

1. Selamat datang kepada seluruh perwakilan dan pemerhati. Saya yakin kehadiran pada hari ini bukan sahaja akan dapat merapatkan saf perjuangan, malah, kita semua juga dapat mengecap luapan semangat ulang tahun UMNO yang ke-71. Marilah sama-sama kita manfaatkan peluang ini untuk mengeratkan silaturahim di samping memperjuangkan agenda agama, bangsa, dan negara demi memperkasakan wanita muda dan menjamin kelestarian perjuangan parti.

2. Semoga persidangan kali ini akan menjadi sebahagian daripada episod penting perjalanan perjuangan kita. Kewujudan PUTERI hari ini mesti dilihat dalam perjalanan perjuangan UMNO yang panjang. Justeru, kita semua mesti menganggap persidangan ini sebagai suatu peluang untuk memastikan perjuangan kita terus relevan. Insya-Allah, pelbagai cadangan bernas dari hati yang ikhlas akan memastikan kuasa politik Melayu terus tegak berdiri buat teduhan rakyat jelata pelbagai bangsa.

3. Pada masa yang sama, saya menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh pelusuk tanah air. Ada di antara kita yang tidak dapat bersama dalam Perhimpunan kali ini, tetapi doa dan ingatan PUTERI UMNO sentiasa bersama dengan mereka. PUTERI UMNO Malaysia juga ingin menzahirkan ucapan takziah kepada Saudari Azuana, Pemangku Ketua PUTERI UMNO Bahagian Pontian atas kehilangan ayahanda tersayang. Al-fatihah.

PEMERKASAAN WANITA
Imbasan Sejarah Wanita Dalam Islam

Para perwakilan PUTERI sekalian,
4. Peranan wanita sangat penting dalam kehidupan. Jika kita membaca sejarah tamadun Barat, hak-hak wanita mula diperjuangkan oleh mereka secara serius dan konsisten lebih kurang 100 tahun yang lalu. Sebaliknya, Islam mengangkat wanita sejak awal kemunculannya. Ketika Barat berbahas tentang keperluan untuk memberikan kedudukan sama rata terhadap wanita, Islam sejak 1400 tahun yang lalu telah meletakkan syurga di bawah tapak kaki kaum Hawa. Malah dalam sejarah peradaban Islam, peranan wanita tidak hanya dicatatkan dalam membangunkan institusi kekeluargaan, tetapi memainkan peranan yang utama dalam pembinaan tamadun.

5. Sebagai contoh, lihat sahaja peranan yang dimainkan oleh Saidatina Aisyah R.A. Dalam pandangan popular, Saidatina Aisyah R.A. dikenali sebagai seorang suri teladan yang menghiasai kehidupan rumah tangga Rasulullah SAW sejak usianya 9 tahun. Namun, dalam konteks sejarah, Saidatina Aisyah R.A diiktiraf sebagai seorang ilmuwan awal yang besar. Dalam kitab sahih Bukhari sahaja, beliau meriwayatkan 300 hadis. Sepanjang hidupnya, beliau dikatakan meriwayatkan 1210 hadis. Pengetahuannya tentang puisi Arab dan ilmu perubatan juga dilaporkan begitu menakjubkan. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menyarankan umat Islam pada waktu itu turut belajar daripada Saidatina Aisyah.

6. Selain itu, wanita juga turut memainkan peranan yang besar dalam peperangan. Sebagai satu contoh, Nusaybah atau Ummu Umarah, telah memainkan peranan penting dalam banyak peperangan utama termasuklah Perang Uhud, Khaibar, Hunain dan Yamamah. Tindakan-tindakan heroik Nusaybah dalam banyak peperangan khususnya dalam Perang Uhud telah menyebabkan Rasullulah SAW berdoa agar Nusaybah menjadi teman Baginda di syurga.

7. Terdapat banyak lagi contoh jika kita ingin melihat peranan wanita sepanjang tamadun Islam. Namun, kata Imam Ghazali, contoh yang sedikit sudah memadai untuk orang yang cerdik. Dua contoh ini sudah cukup sebagai penegasan betapa Islam mengiktiraf peranan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan.

Menyelusuri Perjuangan Wanita Muda Buat Watan

Kehebatan wanita jangan disangkal,
Berjuang hingga bergolok gadai;
Perjuangan serikandi jadikan bekal,
Agar tidak ditelan badai.

Para perwakilan yang saya kasihi,
8. Perkara yang sama juga turut dijiwai oleh srikandi wanita muda kita seperti yang ada dalam sejarah perjuangan kemerdekaan bangsa. Lihat sahaja kisah perjuangan Ibu Zain. Ketika umurnya baru 17 tahun, beliau telah menubuhkan sebuah sekolah untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan atas perbelanjaannya sendiri. Selain Ibu Zain, lihat pula sosok “Iron Lady of Malaya”, Khadijah Sidek. Ketika usia Khadijah Sidek menjangkau 29 tahun, beliau berjuang hingga ke Singapura untuk menyuntik kesedaran politik dalam golongan wanita.

9. Kita juga memiliki sosok yang istimewa seperti Fatimah Hashim, wanita pertama yang dilantik sebagai Menteri Kabinet Malaysia. Biarpun ketika dilantik beliau sudah 45 tahun, namun, beliau bergerak aktif dalam UMNO Johor Bharu sejak berusia 21 tahun lagi. Tidak dilupakan juga ketokohan Aishah Ghani yang tercatat dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara. Ketika umurnya baru 22 tahun, beliau telah mengetuai Angkatan Wanita Sedar, sebelum keluar menyertai UMNO pada usia 26 tahun. Sejarah kemudiannya mencatatkan beliau menjadi wanita pertama yang dilantik menjadi senator.

10. Walau bagaimanapun, mungkin keempat-empat wanita tadi sudah sinonim dengan pengetahuan kita. Sebab itu saya juga ingin sebutkan tentang seorang wirawati yang tidak didendangkan, Datuk Siti Rahmah Kasim. Inilah orangnya yang menyerahkan gelang emas bagi membiayai perjalanan Tunku Abdul Rahman ke London untuk menuntut kemerdekaan. Saya juga ingin menyebut tentang Datuk Tengku Noor Asiah Tengku Ahmad. Sejarah memberitahu kita bahawa inilah wirawati yang berjaya menyatukan UMNO Kelantan ketika krisis politik di negeri itu meruncing, sehingga menyebabkan penubuhan Parti Melayu Semangat 46. Waktu tersebut umur beliau hanyalah 26 tahun.

11. Kesemua tokoh UMNO yang saya bawakan dalam persidangan kita pada hari ini terlibat dengan perjuangan parti ketika usia masih muda. Jika hendak dibandingkan, umur tokoh-tokoh wanita ini tidak jauh bezanya dengan umur para perwakilan PUTERI di hadapan saya pada hari ini.

11. Kita memahami bahawa cabaran dan realiti wanita muda ketika usianya mula melepasi usia 20-an. Namun, tokoh-tokoh yang disebutkan tadi juga turut mengalami cabaran yang sama. Malah, cabaran mereka lebih getir kerana terpaksa berhadapan dengan persepsi masyarakat tradisional yang agak tertutup terhadap wanita Melayu yang aktif. Namun, mereka melaluinya tanpa menggadaikan kehalusan budi pekerti dan kebijaksanaan seorang wanita Melayu.

12. Justeru, mereka memang layak menjadi sumber inspirasi kepada wanita muda untuk terus meninggalkan bekas dalam sejarah perjuangan UMNO. Sudah terbukti, wanita-wanita muda yang disebutkan tadi ialah tangan yang menghayun buaian. Tetapi, tangan yang sama jugalah yang membangunkan anak bangsa dari lena yang panjang! Justeru, ayuh PUTERI! Wanita muda UMNO, kita teruskan perjuangan ini!

60 Tahun Kemerdekaan: Pemerkasaan Wanita Muda di Malaysia

Para perwakilan PUTERI yang dihormati,
13. Setelah merdeka 60 tahun yang lalu, kerajaan yang ditunjangi UMNO dan BN telah melaksanakan pelbagai dasar untuk agenda pemerkasaan wanita muda. Kesannya sangat besar sekali sehingga memungkinkan golongan wanita muda mencipta nama pada peringkat yang sangat tinggi. Rom tidak dibina dalam masa sehari. Jika menanam pisang juga mengambil masa berbulan-bulan untuk menuai hasil, apatah lagi jika kita bercakap dalam konteks kesan dasar pemerkasaan wanita. Sebab itulah kita tidak harus memisahkan kejayaan ramai wanita muda pada hari ini daripada agenda dan dasar-dasar kerajaan tersebut.

14. Hal ini termasuklah pencapaian Nur Adlyka Ainul Annuar. Baru-baru ini beliau yang bertindak sebagai ketua penyelidik bersama-sama sekumpulan ahli astronomi dunia berjaya membuktikan kewujudan lohong hitam super massive, yang tersembunyi di lingkaran kosmik semesta. Sebelum ini, Nur Hafizah Isa juga terlibat dalam satu kajian dengan sekumpulan saintis dan berjaya membuktikan Teori Gelombang Graviti yang diramal kewujudannya oleh Albert Enstein kira-kira 100 tahun lalu. Sukar untuk kita bayangkan pencapaian kedua-dua wanita muda tersebut tanpa dasar-dasar kerajaan yang begitu menitikberatkan peranan wanita muda dalam pembangunan minda kelas pertama.

15. Pada masa yang sama, kita juga harus meraikan tindakan-tindakan proaktif wanita muda yang bertujuan meningkatkan keyakinan anak bangsa. Kejayaan wakil tunggal Pasukan Kembara Srikandi Prihatin, Ummu Farah Haidar Zulkifli yang telah berjaya mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Elbrus yang merupakan puncak tertinggi di Eropah pada September yang lalu. Pada hari ini, beliau bersama-sama dengan kita di dalam dewan ini. Kejayaan beliau bersama-sama kumpulannya dalam ekspedisi tersebut merupakan lambang keberanian wanita muda. Kejayaan itu patut kita banggakan dan terus galakkan. Berikan tepukan buat kumpulan ekspedisi ini.

Hadirin dan hadirat,
16. Di bawah kepimpinan mantap YAB Perdana Menteri, melalui dasar dan polisi serta mengambil kira pemerkasaan Bumiputera sebagai agenda nasional kini telah mula menampakkan kesannya. Sewaktu beliau menerajui negara pada tahun 2009, pendapatan kasar isi rumah rakyat Malaysia secara purata dianggarkan RM 3624. Hari ini ianya meningkat kepada dua kali ganda iaitu RM 6267. Malah, insiden kemiskinan Bumiputera berjaya diturunkan daripada 5.3 peratus pada tahun 2009 kepada 0.5 peratus pada tahun lalu. Begitu juga dengan KDNK negara pada suku tahun ketiga yang meningkat kepada 6.2 peratus di bawah kepimpinan ‘Najibnomics’

17. Sebelum pembentangan Bajet 2018 oleh YAB Perdana Menteri, PUTERI UMNO telah menganjurkan Perbincangan Meja Bulat bersama 17 NGO Wanita dan Sahabat PUTERI BN berhubung harapan dan aspirasi wanita muda terhadap Bajet 2018. Hasil dapatan bengkel kemudian diserahkan dan cukup dialu-alukan oleh YAB Perdana Menteri. Dengan ini Pergerakan PUTERI UMNO ingin menyatakan penghargaan yang tinggi terhadap YAB Perdana Menteri kerana turut memasukkan beberapa cadangan PUTERI UMNO seperti yang kita usulkan ke dalam Bajet 2018. Ini terbukti YAB Perdana Menteri ialah seorang pemimpin yang prihatin dan mesra terhadap orang dan wanita muda. Selagi PUTERI UMNO berpaksi, selagi itulah kami akan berjuang demi kemaslahatan wanita muda Malaysia.

Menyahut seruan Perdana Menteri,
Lahirkan generasi martabat tertinggi;
Ayuhlah semua sahabat PUTERI,
Sama-sama kita lahirkan ADAM Fifty.

18. Antara usul wanita muda yang menjadi keprihatinan kami dan telah diberi perhatian oleh YAB Perdana Menteri ialah ADAM 50, penambahan peruntukan SL1M, peruntukan untuk usahawan muda, dana untuk memudahkan generasi muda membuat pinjaman, kemudahan untuk ibu yang mengandung dan penyediaan lebih banyak taska di premis-premis kerajaan. Lebih menarik lagi, beliau turut mengisytiharkan tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita.

Bintang kejora di dada malam,
Dalam gelap bagai kerongsang;
Jika esok seakan kelam,
Ambil darahku supaya terang.

19. Pergerakan PUTERI UMNO menegaskan untuk memberikan komitmen yang tinggi untuk turut bersama menjayakan objektif Bajet 2018. Pemerkasaan wanita sangat berkait rapat dengan pengukuhan institusi kekeluargaan. Keluarga bukan sahaja tunjang kepada pembangunan peribadi, malah mekanisme terawal dalam pembentukan masyarakat dan negara yang sejahtera.

20. PUTERI UMNO Malaysia melihat inisiatif Bajet 2018 dengan positif. Inisiatif penambahan cuti bersalin daripada 60 kepada 90 hari mesti dipuji. Kami juga mengalu-alukan pelepasan kepada pasangan untuk pulang bekerja lebih awal apabila isteri mengandung. Terima kasih YAB Perdana Menteri kerana memanifestasikan suara hati golongan wanita muda.

21. Oleh sebab itu, saya ingin menzahirkan kegembiraan tersebut dengan berkongsi keprihatinan PUTERI khusus dalam soal pelaksanaan Bajet 2018. Tidak ada seorang isteri pun yang ingin melalui fasa selepas bersalin berseorangan. Hakikatnya, keadaan fizikal wanita selepas bersalin masih lemah manakala emosi mereka pula mudah terganggu. Tetapi, mereka juga perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai suri rumah. Makanan perlu disiapkan, pakaian mesti dicuci dan rumah harus dikemas. Beban ini akan dapat dikurangkan dengan kehadiran suami di sisi.

22. Oleh yang demikian, PUTERI juga ingin mencadangkan untuk menambah jumlah cuti kelahiran anak bagi kaum bapa untuk membantu dan menyokong kaum ibu yang melahirkan anak. Saya yakin, jika keprihatinan ini dapat dizahirkan, tragedi yang menimpa seorang ibu yang masih dalam pantang di Kulai, Johor pertengahan tahun ini mungkin tidak akan berulang.

Teman perjuangan sekalian,
23. Statistik menunjukkan 171,252 penceraian berlaku dalam kalangan pasangan Muslim dari tahun 2014 hingga 2016 sahaja. Di sebalik kebimbangan melihat angka-angka tersebut, kita juga harus memikirkan nasib wanita dan anak yang turut menjadi mangsa keadaan. Situasi bertambah teruk kerana kebanyakan mereka mempunyai kefahaman yang rendah terhadap undang-undang syariah. Di Terengganu, sebanyak 1,371 kes ingkar perintah nafkah yang diadukan sejak 2010 hingga 2016. 588 kes difailkan ke Mahkamah Syariah Terengganu bagi tujuan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah. Sehubungan itu, PUTERI ingin mengusulkan Bahagian Sokongan Keluarga perlulah diperkasakan dalam memastikan isu nafkah ini dapat diselesaikan tanpa perlu perintah pelaksanaan.

24. Lantaran itu, PUTERI menyambut baik pelantikan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah. Kami juga sangat mengalu-alukan pelantikan beberapa hakim wanita mahkamah rendah syariah di Kuala Lumpur, Melaka, Sabah, Perlis dan Kelantan. Kebijaksanaan ini pasti memberikan kesan yang signifikan lebih-lebih lagi majoriti plaintif di mahkamah syariah ialah golongan wanita. PUTERI melihat ada kewajaran yang tinggi untuk terus menambah hakim-hakim wanita dari masa ke masa.

25. Selain itu, PUTERI juga menyedari pelbagai isu penceraian yang lewat di mahkamah juga berkait rapat dengan profesionalisme dan intergriti amalan oleh peguam syariah sendiri. Untuk itu, cadangan PUTERI tahun lepas agar penubuhan Majlis Peguam Syari’e Malaysia yang mempunyai fungsi yang menyamai “Majlis Peguam Malaysia” haruslah dilaksanakan segera. Badan ini jika ditubuhkan kelak, akan memberikan kesan positif termasuk meningkatkan kredibiliti dan integriti pengamal undang-undang syariah yang seterusnya mampu mengelakkan kes-kes yang menindas golongan wanita terlibat.

26. Inisiatif pemerkasaan wanita dalam Bajet 2018 juga perlu dilihat selari dengan isu kebejatan moral dalam kalangan generasi muda. Terdapat perkaitan sebab akibat yang kukuh antara isu kebejatan moral dengan keruntuhan institusi kekeluargaan. Baru-baru ini, insiden kebakaran tahfiz yang mendapati tujuh orang kanak-kanak terlibat. Sebelum itu, kita digemparkan dengan berita seorang mahasiswa didera dengan seterika panas sehingga menyebabkan kematian.

27. Ini hakikat pahit yang perlu kita hadapi dengan rasional, bukannya dengan emosional. Oleh sebab itu, ketika kita mengkritik golongan terbabit, kita juga harus memikirkan akibat daripada pelakuan jenayah itu khususnya kepada kaum keluarga tertuduh. Kita tidak mahu nasib kaum keluarga mereka seperti jatuh ditimpa tangga. Sudahlah anak-anak kini didakwa, sesetengahnya pula menjadi harapan masa depan keluarga, kini mereka terpaksa pula berhadapan dengan pelbagai kesan rentetan yang sebenarnya boleh dielakkan. Justeru, mekanisme tertentu perlu difikirkan bersama mengenai hal ini.

Teman-teman seperjuangan,
28. PUTERI juga ingin menyentuh soal yang sangat berkait rapat dengan peluang ekonomi dan kerjaya. PUTERI berasa terpanggil menyuarakan kebimbangan atas beberapa isu. Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) tidak dinafikan keupayaannya dalam meningkatkan kebolehpasaran dan keupayaan graduan. Namun, kita juga harus menyedari bahawa tiada panduan yang jelas dalam memastikan semua peserta SL1M melalui latihan yang serupa. Sesetengah syarikat hanya mengambil pelatih tanpa menyediakan latihan industri yang sewajarnya. Keadaan ini umpama melepaskan batuk di tangga. Malah, terdapat juga syarikat menggunakan tenaga pelatih melebihi tugasan tenaga tetap yang bekerja di syarikat tersebut. Justeru, mekanisme dan panduan yang jelas perlu diambil bagi memastikan situasi menang-menang berlaku di mana syarikat memperolehi tenaga kerja dan peruntukan manakala graduan pula memperolehi kemahiran dan pekerjaan jika mereka benar-benar terbukti berpotensi.

29. Di balik isu-isu berkaitan graduan SL1M yang sering ditimbulkan, kita ingin menampilkan kejayaan bekas pelatih SL1M pada hari ini. Saudari Pajilawati Sakibun merupakah salah satu testimoni terbaik dalam menggambarkan kejayaan SL1M untuk melahirkan tenaga kerja yang berkebolehan. Beliau merupakan seorang anak nelayan di Kudat yang ayahnya mempunyai sebuah perahu sahaja. Kecekalan beliau menghadapi dugaan hidup serta keberanian mencuba SLI1M bersama Malaysia Airlines System (MAS) pada akhirnya telah menyebabkan beliau diserap sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelanggan. Bayangkan, keperitan yang ditempuhi oleh Pajilawati dan keluarganya yang makan bubur beserta garam, hari ini menemui sinar bahagia buat diri dan keluarganya apabila beliau menyertai program kendalian SL1M.

30. Pada masa yang sama, PUTERI melihat keupayaan wanita dalam dunia usahawan pastinya boleh ditingkatkan lagi dengan usaha-usaha berterusan kerajaan. Bantuan keusahawanan kepada wanita sebelum ini telahpun dilakukan melalui pelbagai inisiatif seperti melalui MyWin Academy, AIM dan TEKUN. Usaha yang berbentuk keusahawanan jelas mampu mencungkil bakat-bakat perniagaan yang dimiliki oleh wanita muda pada hari ini. Malah, tanggapan bahawa wanita bekerjaya perlu ada di pejabat sudah tidak relevan lagi dalam konteks masyarakat kita yang turut dibentuk oleh perkembangan teknologi maklumat. Suri rumah juga boleh menceburkan diri dalam bidang perniagaan melalui inisiatif-inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan dengan syarat mereka didedahkan secara tersusun terhadap aktiviti perniagaan dalam talian (online).

31. Pemerkasaan wanita juga sangat bergantung dengan usaha untuk membentuk mereka lebih berdikari. Kata pepatah Cina, berikanlah joran kepada orang yang lapar. Dengan itu, mereka akan memancing ikan untuk diri sendiri apabila mereka kelaparan. Justeru, usaha-usaha dan inisiatif yang berterusan termasuk seperti yang digariskan dalam Bajet 2018, akan mampu merapatkan jurang gender dengan lebih baik lagi selepas ini. Ini semua mesti dilakukan dengan lebih giat dan tersusun, lebih-lebih lagi ketika kita sedang bercakap tentang Revolusi Perindustrian 4.0.

32. Revolusi Perindustrian 4.0 berkisar tentang kehidupan yang berpaksikan kebijaksanaan tiruan (artificial intelligence), objek rangkaian Internet (Internet of Things- IOT), data besar (big data), dan penggunaan robotik. Hal ini akan memberikan pelbagai kesan kepada seluruh sudut kehidupan. Dalam bahasa yang mudah, kita akan menjalani kehidupan bentuk baru yang kurang menggunakan tenaga manusia. Contohnya, pembinaan bangunan akan menggunakan tenaga robotik sepenuhnya. Untuk membeli barang, kita tidak akan lagi ke pasaraya tetapi hanya membelinya melalui dalam talian. Gaya hidup kita sudah tentu akan berubah.

33. Jurang ekonomi antara golongan kaya dan miskin akan bertambah lebar. Ini akan memberikan kesan tersendiri kepada institusi kekeluargaan dan golongan wanita. Golongan yang memiliki modal yang besar pula akan mendominasi industri. Dalam masa yang sama, mungkin institusi kekeluargaan akan lebih kukuh kerana ibu dan bapa akan mempunyai masa yang lebih lama di rumah. Namun, apakah pula kesannya kepada interaksi sosial kerana manusia akan lebih kurang berinteraksi secara langsung? Ini hanya beberapa persoalan yang berbangkit daripada ribuan kemungkinan yang akan terjadi. Sebab itu, apapun yang akan berlaku, kita harus bertindak awal dengan mengadakan kajian yang komprehensif supaya kita dapat melihat dengan jelas kesannya secara menyeluruh terhadap institusi kekeluargaan dan golongan wanita.

34. Sebab itu, PUTERI melihat soal inovasi dan kreativiti adalah persediaan penting. Bukan sahaja untuk kaum wanita melangsungkan kehidupan sekarang, tetapi sebagai asas untuk berhadapan dengan orientasi kehidupan yang telah pun berubah. Kaum wanita muda mesti mengambil peluang untuk memohon dana yang disediakan oleh kerajaan sebagai usahawan untuk memasarkan produk yang dihasilkan. Amatlah rugi jika dunia berbicara tentang inovasi, tetapi orang Melayu jauh ketinggalan di belakang. Oleh sebab itulah, PUTERI UMNO bersedia menjadi agen penghubung antara agensi kerajaan dan golongan sasaran dalam memastikan usahawan Bumiputera bergerak seiring perkembangan terkini.

35. PUTERI UMNO juga ingin menyuarakan kebimbangan rakyat pada berkenaan peningkatan kos sara hidup. Namun, PUTERI sedar kerajaan telah berperanan dengan mewujudkan skim Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang terbukti membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah. Namun, PUTERI menyelar sikap peniaga yang mengambil kesempatan di atas kesempitan. Justeru, pihak KPDNK perlu memperketatkan lagi penguatkuasaan dan gerakan bersepadu juga perlu dilakukan supaya rakyat tidak ditekan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

Sidang perwakilan sekalian,
36. Dalam soal ruang kepimpinan, kita lihat kerajaan telah meletakkan kuota 30 peratus kepada wanita sebagai pembuat dasar. Tetapi, merujuk kepada ucapan YAB Perdana Menteri sewaktu merasmikan Women in Politics kelmarian, kita telah pun mencapai 35.6 peratus. Ini ialah suatu pencapaian yang amat membanggakan. Namun begitu, kuota yang kita tetapkan untuk sektor korporat belum tercapai. Sebab itulah, kita mengharapkan agensi korporat menanggapi pemerkasaan wanita dalam Bajet 2018 dengan serius.

MENTALITI NEGARAKU, MENTALITI KEMENANGAN

Hadirin dan hadirat,
37. Saya teringat baru-baru ini saya ke Ekspo Negaraku. Hati saya sangat tersentuh menonton klip video berkenaan seorang kanak-kanak disleksia yang bernama Alia. Disleksia menyebabkan Alia tidak dapat mengenal huruf dan nombor yang seterusnya sentiasa terkebelakang dalam akademik. Suatu hari, di dalam kelas, guru membuka peluang kepada murid-muridnya untuk berkongsi impian tentang pembangunan masa depan negara. Alia menjadi murid paling awal bangun. Dia bergerak ke hadapan kelas lalu terus menampalkan lakaran yang telah dibuatnya.

38. Kawan-kawannya terus mengetawakannya. Namun apabila hampir setengah lakaran Alia dilekatkan di hadapan, murid-murid lain mulai menyedari bahawa lakaran itu sedang membentuk satu imej kota yang sangat futuristik. Kawan-kawannya mula tertarik dan bangun menolongnya melekatkan kertas lakaran selebihnya. Setelah selesai, lakaran itu terbentuk sebagai suatu lakaran kota futuristik yang sangat menakjubkan. Saya tidak ingin berkongsi babak terakhir dalam klip video yang amat menyentuh hati itu. Pergilah ke Eskpo Negaraku yang berlangsung dan tontonlah sendiri. Namun, pengajaran terbesar dari kisah Alia adalah berkenaan Mentaliti Negaraku yang berkait rapat dengan Mentaliti Kemenangan. Biarpun mempunyai kekurangan, namun kekurangan itu tidak dijadikan penghalang untuk maju ke hadapan.

Hadirin sekalian,
39. Begitu jualah harapan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri demi mengangkat aspirasi nasional yang mengutamakan keperluan rakyat. Banyak pandangan yang berbicara tentang pembangunan fizikal. Namun, kita juga perlu membicarakan sisi pembangunan jiwa anak bangsa. Hal ini dengan sendirinya menyentuh Mentaliti Negaraku yang menjadi modal penting untuk kita sama-sama merealisasikan TN50.

40. PUTERI ingin mengingatkan supaya kita jangan sesekali lupa paksi perjuangan UMNO yakni Agama, Bangsa dan Tanah Air ketika berbicara tentang TN50. Sudah jelas lagi nyata, agama Islam memainkan peranan dalam pembentukan keperibadian kita di wilayah ini ratusan tahun lamanya. Islam jugalah yang menjadi teras pembentukan dan perpaduan bangsa Melayu. Oleh sebab itulah, Islam harus mendapat gambaran yang betul dalam Mentaliti Negaraku. Dengan itu, TN50 yang ingin kita jelmakan menjelang tahun 2050, tidak akan lari daripada asas perjuangan UMNO yang disebutkan tadi.

41. Kita sedar realiti di kebanyakan dunia Islam hari ini memperlihatkan kesan yang bertentangan. Pertama, apabila mereka menjadi golongan majoriti di dalam sesuatu negara, mereka berpecah dengan mencari titik perbezaan perkauman, mazhab dan aliran pemikiran. Akhirnya, kestabilan politik tergugat yang seterusnya memacu konflik yang lebih besar, seperti peperangan di Syria dan Yaman. Dengan itu, Islam mungkin dihujahkan sebagai agen perpecahan.

42. Kedua, apabila populasi Islam menjadi minoriti di sesetengah negara, Muslim ditindas dan dinafikan haknya kerana dikatakan tidak mampu berasimilasi dengan budaya tempatan. Hal ini berlaku di Mynmar ketika ini sehingga regim tentera Aung San Suu Kyi menggunakan alasan itu untuk melakukan pembantaian dan pembersihan etnik Rohingya.

43. Kedua-dua hujah itu sebenarnya tidak relevan jika kita menjadikan pengalaman Islam di negara ini sebagai rujukan. Islam di sini memainkan peranan sejak kurun ke-12 sebagai penyatu dalam pembentukan identiti bangsa kita. Biarpun kita terdiri daripada pelbagai suku kaum, itu semua disatukan dengan konsep Melayu yang berteraskan Islam. Bayangkan situasi yang mungkin berlaku sewaktu kita ingin menubuhkan Malaysia dahulu jika kita semua membelakangkan Islam dan menekankan perbezaan antara suku kaum dan semangat kenegerian.

44. Walau bagaimanapun, kita sedar, perkembangan beberapa tahun belakangan di negara kita turut memperlihatkan Islam juga dijadikan asas kepada perpecahan. Namun, jika diteliti, hal ini mula berlaku akibat aliran Islam yang dibawa itu bertentangan dengan aliran yang menjadi majoriti dan mempunyai sejarah ratusan tahun di negara kita, yakni Ahli Sunnah Wal Jamaah. Oleh sebab itu, kita harus menekankan kembali fungsi dan peranan Ahli Sunnah Wal Jamaah agar persatuan di atas konsep Melayu Islam ini kembali kukuh.

45. Yang kedua, Islam yang dipraktikkan di Malaysia secara jelas memberikan ruang yang luas kepada golongan bukan Islam untuk mempraktikkan agama dan budaya mereka. Orang Melayu mungkin akan bersifat tertutup dan chauvinis, seterusnya akan menindas golongan minoriti jika bukan kerana dilarang dalam Islam. Orang Melayu di negara ini begitu terbuka dan meraikan kepelbagaian kaum kerana itulah anjuran Islam. Sebab itu, akomodasi kaum di Malaysia kelihatan lebih berjaya kerana faktor Islam yang melihat perbezaan kaum adalah suatu fitrah dan bukti Allah Yang Maha Bijaksana.

46. Dalam al-Quran, hal ini difirmankan Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat ke-13 yang berbunyi: Wahai Manusia, sungguh kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal…

47. Oleh sebab itu, saya bimbang dengan sikap sesetengah golongan di negara ini yang cuba menggambarkan orang Islam sebagai kolot. Malah, sesetengah golongan begitu Islamophobic. Saya menyarankan golongan ini berhenti bermain api dengan isu-isu berkaitan agama Islam. Baru-baru ini, Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) membangkitkan isu larangan pemakaian tudung terhadap pekerja-pekerja hotel dalam negara ini. Malah saya yakin, ada premis perniagaan tertentu seperti di pasaraya yang melarang pekerja mereka untuk bertudung. Tindakan ini perlu kita kecam kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf agama Islam sebagai agama Persekutuan. Tindakan-tindakan Islamophobic seperti ini patut dikekang sejak awal sebelum baranya mencetuskan api permusuhan dan perkauman yang lebih besar.

Barisan semut api PUTERI dan para pemerhati,
48. Mentaliti Negaraku juga berkait rapat dengan corak pemikiran yang terbuka dan sentiasa menerima idea-idea baru. Maksudnya, kita tidak akan sesekali menolak idea-idea bernas tidak kiralah dari manapun datangnya. Sikap seperti ini sangat berkait rapat dengan saranan Nabi Muhammad SAW sendiri supaya kita mengutip hikmah biarpun datang dari luar. Namun begitu, kita juga harus mempunyai kerangka sendiri agar sikap terbuka kita tidak bersifat semberono. Dalam erti kata lain, kita harus mempunyai bekas kita sendiri sebelum mula menceduk air lazat yang dihidangkan oleh tamadun asing.

49. Ciri penting seterusnya yang perlu ada dalam Mentaliti Negaraku ialah pemikiran yang menghargai asas-asas pembentukan negara seperti konsep ketuanan Melayu dan pengiktirafan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu. Mentaliti Negaraku dalam TN50 sewajarnya akur terhadap peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menerangkan tentang kedudukan Raja-raja Melayu.

50. Saya juga ingin menyentuh kepentingan golongan yang berada dalam industri kreatif. Menurut satu laporan, untuk tahun 2016, industri kreatif di Lembah Klang sahaja menyumbang RM 8.99 billion kepada negara. Hal ini menunjukkan satu gambaran yang signifikan. Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermakna semua golongan yang berada dalam industri kreatif menerima faedahnya. Persepsi umum masyarakat hari ini pula sentiasa melihat golongan yang terlibat dalam industri kreatif hanyalah sebagai penghibur. Malah, tindakan pemain-pemain utama dalam industri hiburan yang terlalu menekankan keuntungan material, menyebabkan kreativiti golongan ini banyak dihabiskan sekadar untuk memenuhi kehendak pasaran.

51. Sebenarnya kumpulan yang terlibat dengan industri kreatif ini telah banyak menyampaikan mesej-mesej penting dan mampu mentransformasikan industri kreatif sebagai medium utama pendidikan dan pembinaan tamadun. Mereka juga boleh memainkan peranan dalam pembentukan Mentaliti Negaraku yang kita idamkan. Sebab itu, kerajaan dan pelbagai agensi yang berkenaan tidak harus memandang sepi peranan mereka. Mereka memerlukan pembelaan melalui polisi dan dasar yang jelas mengenai hala tuju mereka. Ini bagi memastikan golongan ini bukan sahaja dapat menyumbang kepada pembentukan Mentaliti Negaraku, malah, usaha mereka itu diberi galakan dan pertolongan ekonomi agar mereka tidak terpinggir dalam menikmati hasil mahsul negara yang akan terus bertambah menjelang tahun 2050.

LEGASI PUTERI UMNO

Sepohon cendana di tengah hutan,
Semerbak baunya ke pinggir desa;
Dalam dadaku cumamu teman,
Dirimu di hatiku sentiasa esa.

Buai diikat di dahan cemara,
Petang-petang mainan puteri;
Ayuh kotakan tiap bicara,
Jika disoal nyawa diberi..

Di taman istana puteri menari,
Menanti inang mendapatkan ragi;
Bertahun tahun telah ku beri,
Jika ingin ambillah lagi.

Teman-teman seperjuangan, sidang hadirin dan perwakilan yang saya hormati.
52. Secara rasmi, inilah pentas terakhir untuk saya menyampaikan ucapan Dasar sebagai Ketua PUTERI UMNO Malaysia. Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli PUTERI UMNO, khususnya Exco PUTERI UMNO Malaysia, Ketua-Ketua PUTERI UMNO Negeri serta Ketua-Ketua PUTERI UMNO Bahagian, kepimpinan cawangan dan anda semua yang ada dalam dewan ini atau di luar sana. Andalah ialah wira tidak didendang yang sentiasa bersama-sama di belakang saya, bersama-sama jatuh dan rebah, bersama-sama bangkit dan terus maju, sepanjang mengharungi laluan perjuangan yang mencabar.

53. Bukan mudah untuk kita semua menggalas tugas ini. Setiap saat dan detik pasti ada saja cemuhan yang disebarkan. Pahit getirnya terlalu sukar dan berbisa. Sebab itu, sepanjang tempoh perjuangan, ada yang rebah menyembah bumi sebelum sampai ke garisan penamat. Namun, bakti anda semua akan tersemat di dalam lipatan sejarah pergerakan PUTERI ini.

54. Kepada sahabat yang setia bersama, terima kasih diucapkan kerana sentiasa komited dalam menggalas tugas penting ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan buat seluruh kepimpinan ini yang tanpa jemu terus-menerus menabur bakti dan khidmat kepada pelbagai lapisan masyarakat. Dengan berbekalkan keahlian seramai 390,843 orang dan pemilih PUTERI UMNO seramai 331,353 orang setakat suku tahun ke-2, PUTERI harus melangkah lebih agresif selepas ini.

55. 17 tahun bukanlah waktu yang singkat. Sepanjang tempoh itu, telah saya perah setiap kudrat demi sebaik khidmat. Sepanjang tempoh itu, berbekalkan semangat dan wala’ yang bertempat, saya isi setiap ruang dan peluang, mendukung amanat.

56. Bermula dari tahun 2013 hingga hari ini, dari Program Latihan memperkasa kepimpinan PUTERI, Program Kebajikan Tulong Hagnaya, menyantuni golongan kurang upaya, Kembara Ilmu, Bayahista, OpsDP (Daftar PUTERI & Pemilih), SWiNAS, ADINDA, ASEAN Young Women Leadership Conference, ASEAN Pink Dialogue, Rock Solid Pink Run, We Hear You, PUTERI DIAN, The Beauty of Autism, Kelip-Kelip, Let’s Talk, My Hak dan terkini Kempen S.A.F.E yang telah dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada 4 haribulan yang lalu. Semua program yang dilaksanakan adalah satu bentuk kebersamaan PUTERI UMNO bersama wanita muda tempatan dan serantau daripada pelbagai latar belakang.

57. PUTERI UMNO juga tidak melupakan jasa dan pengorbanan sahabat-sahabat yang telah meninggalkan pentas perjuangan PUTERI. Sebab itulah persahabatan yang terjalin ini kita eratkan dengan penganjuran Pink Reunion 2.0 yang telah diserikan dengan kehadiran Dato’ Seri Hishamudin Tun Hussein. Malah, penubuhan Koperasi Sahabat PUTERI UMNO Malaysia (KOSAPUM) memperlihatkan kesungguhan kita memperkukuhkan sisterhood ini dari sudut yang lain.

Sidang perwakilan PUTERI yang saya kasihi,
58. Wanita muda dalam PUTERI UMNO Malaysia kini berdepan dengan jalan-jalan yang berliku dalam menegakkan amanah parti keramat orang Melayu. Namun begitu, saya percaya PUTERI UMNO Malaysia mampu menjadi secekal wanita ulung yang saya bicarakan seawal ucapan saya sebentar tadi.

59. Nilai-nilai positif ini perlulah dikekalkan. PUTERI UMNO bukanlah satu medan untuk tempat kita meminta-minta jawatan, meminta-minta pangkat, meminta-meminta harta benda. Jauh sekali untuk mengejar populariti. Jadilah seperti seekor semut yang patuh pada arahan ketua, sentiasa bekerjasama dalam kumpulan dan setia berjuang memastikan sarangnya berdiri kukuh dan utuh dari pelbagai ancaman. Walaupun penghuninya bertukar ganti, sarangnya tetap kekal selamat.

60. Karakter seorang PUTERI sebagai pemimpin masyarakat dinilai apabila mereka mempunyai nilai keikhlasan, kekuatan, keupayaan dan kemahiran dalam melaksanakan sesuatu tugasan. Jangan dilupakan juga integriti dan amanah yang perlu dijaga supaya ianya selari dengan kualiti akhlak seseorang pemimpin.

Adinda PUTERI yang disayangi,
61. Berkorbanlah untuk memastikan suara masyarakat sentiasa didengari agar mereka sentiasa berada dekat dengan parti. Pengorbanan ini adalah perlu untuk memastikan kepentingan bangsa kekal terpelihara melalui kuasa politik orang Melayu. Pemimpin datang dan pemimpin pergi, namun nilai-nilai utama ini harus mendasari teras perjuangan PUTERI.

MENUJU PILIHANRAYA UMUM KE-14

Para perwakilan PUTERI sekalian,
62. Kini kita sudahpun berada dalam bulan Disember 2017. Ini bermakna, kaki kita setiap hari melangkah mendekati medan tempur Pilihanraya Umum ke-14. Apapun yang bakal terjadi, Pilihanraya Umum ke-14 yang sedang menunggu kita ini, akan menjadi salah satu medan pertempuran paling penting dalam memastikan survival perjuangan agama, bangsa dan negara. Masa depan kita sangat berkait rapat dengan keputusan PRU ke-14. Jangan sesekali alpa daripada memikirkan kenyataan ini!

63. Rentetan Bengkel Strategik PRU ke 14 yang telah diadakan oleh PUTERI UMNO Malaysia pada awal tahun ini, kita rancak mengatur langkah. Kita telah mengaktifkan Unit Khas Pilihanraya. Kumpulan Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) giat menyusuri akar umbi seluruh negara. Pusat Panggilan telah diaktifkan dan kita sentiasa siap siaga mendekati pengundi muda.

64. Sementara hari besar itu tiba, saya menyeru kepada PUTERI: Luaskan kuasamu! Temui pengundi-pengundi, tidak kiralah yang terselit di tengah-tengah kesibukan kota, atau terlontar di suatu sudut nun terceruk di desa-desa. Bersama sahabat PUTERI BN, kita semua akan sentiasa sederap selangkah.

65. Dalam kita terus bekerja, pasang-pasangkanlah kekuda menangkis serangan sumbang pakatan pembangkang. Mereka sungguh licik dengan pelbagai dakyah. Mulut manis tetapi hatinya busuk. Yang benar didustakan, yang dusta dibenarkan. Oleh itu, PUTERI UMNO mesti terus bekerja dengan memanfaatkan segenap ruang dan peluang untuk berhujah secara rasional. Setiap detik yang ada ini gunakanlah untuk mendekati golongan muda dan fahamilah aspirasi mereka.

66. PUTERI juga tidak lupa untuk terus berbakti kepada semua tanpa mengira latar belakang khususnya melalui skuad PUTERI Peduli. Sewaktu Pulau Pinang lumpuh kerana banjir, Skuad PUTERI Peduli juga turut turun. Namun amat malang apabila ada pemimpin pembangkang menuduh kita mementingkan perkauman apabila memberikan tumpuan kepada kawasan yang diabaikan oleh mereka. Hentikanlah politik yang tidak matang ini. Lim Guang Eng ini agaknya mudah lupa siapa yang dia telefon pukul tiga setengah pagi saat dia memohon bantuan dengan penuh tangisan.

67. Kalau pertolongan ikhlas kita ketika banjir pun mereka disalah tafsir oleh mereka, apa lagi yang kita nak harapkan dari politik DAP. Dari merdeka hingga sekarang, sudah banyak yang berubah. Tetapi, satu-satunya yang tidak berubah ialah orientasi politik DAP. Dari dulu sampai sekarang, mereka kekal anti-Melayu dan anti-Islam. Tidak usah beretorik panjang-panjang tentang hal ini. Baca sahaja perlembagaan DAP, jelas kelihatan yang mereka perjuangkan ialah Malaysian-Malaysia. Malah kini, dalam parti Roket itu dipenuhi pelampau perkauman. Bacalah sahaja kenyataan-kenyataan Nga Kor Ming yang begitu berani menghina bangsa kita.

68. Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang sampai sekarang terpalit dengan isu rasuah, boleh pula membatukan dirinya seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Banjir pula di Pulau Pinang? Dulu bongkak katanya Kerajaan Negeri bangga dengan kecekapan, akauntabiliti dan bersikap telus, namun sebaliknya berlaku. Hari ini bukan sahaja NGO marah akan Guan Eng tapi rakyat Pulau Pinang pun dah marah dengan Guan Eng. Bahkan kalau pokok dan bukit boleh bercakap, mereka juga akan marah Guan Eng. Kita tidak dapat bayangkan bagaimana jika kita serahkan kuasa Pusat kepada tangan orang yang semacam ini.

69. Lain pula kisahnya di Selangor dan kerenah pemimpin PKR. Kenyataan-kenyataan MB Selangor di media sosial, bukan lagi main menyerang dan mempersoal intergriti kerajaan. Bukan main galak menolong anak dara jual nasi lemak di tepi jalan, gerai-gerai Melayu yang dirobohkan tidak langsung dihiraukan. Ketika beliau ingin menjadi juara dalam kes-kes anti-rasuah dan korupsi, namun bila diminta oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah, terus kecut lesi. Apa cerita kisah anak saudaranya?

70. Begitu juga dengan YB Pandan yang menubuhkan INVOKE dan melancarkan kempen “Bina Semula Negara”. Kempen itu tidak lebih daripada usaha memfitnah kepimpinan YAB Perdana Menteri. Hakikatnya, dakwaan itu umpama tin yang berdentung-dentang bunyinya tetapi kosong isinya. Sebab itu, daripada terus menabur fitnah, lebih baik YB Pandan mengusahakan kempen bina semula hubungannya dengan Azmin. Ada angin bertiup katanya hubungan sesama mereka umpama telur di hujung tanduk.

71. Namun, isu perpecahan dalaman turut melanda Parti Cap Bunga. Malah, hal-hal asas seperti penyusunan struktur dan perjalanan organisasi pun kelihatannya tidak teratur. Bukan saya cakap! Pengerusi PPBM sendiri yang cakap, orang lama UMNO dulu. Sehingga sekarang pun, PPBM belum mampu melangsungkan mesyuarat agung. Jika isu asas sebegini pun masih menjadi kendala, bagaimana mereka boleh memimpin Pakatan Harapan? Kalau pemimpin ARMADA pun mendesak PPBM itu dibubarkan, sekalung tahniah saya ucapkan kepada Ketua Srikandi PPBM Kuala Kedah yang juga sahabat kami yang telah mengisytiharkan diri keluar dari PPBM. Ini satu keputusan yang tak patut disesali. Syabas dan selamat kembali ke pangkal jalan!

72. Sewaktu pemimpin mereka terus berlagak bagai merak yang menayangkan kecantikan bulunya, sehingga tidak sengaja menampakkan sepasang kaki yang hodoh, alhamdulillah, pemimpin kita pula terus konsisten dengan politik matang. Sewaktu ada pemimpin pembangkang yang terlantar di hospital, YAB Dato’ Seri Najib dan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid masih sempat mencari masa untuk melawat. Ketika pelbagai kritikan tidak berasas dilakukan pembangkang, YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri turun juga ke Pulau Pinang bagi memastikan rakyat di sana diberikan pertolongan sewajarnya. Politik yang penuh manusiawi seperti inilah yang ingin kita pupuk dan semai supaya tumbuh subur di perkebunan masa.

Sidang perwakilan yang dihormati,
73. Dari akar umbi, kita yakin dan sentiasa berdoa agar politik matang dan kesepaduan yang terjalin antara YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri akan bertambah kukuh. Situasi seperti ini akan memberikan kesan yang sangat positif kepada perkembangan dan kestabilan setiap peringkat dalam parti. Sudah pasti hal ini tidak begitu digemari oleh pihak tertentu termasuk parti cap bunga. Benteng perpaduan yang dibina atas politik matang dan persaudaraan antara YAB Datuk Seri Najib dan YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid akan cuba diruntuhkan kerana inilah kekuatan sebenar yang kita ada sekarang. YAB Datuk Seri Presiden, kami doakan agar diberikan kesihatan yang baik dan terus memimpin kami. Kami akan terus setia berada di belakang dan menyokong kepimpinan YAB Datuk Seri. Buat YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden, kesetiaan dan kesungguhan dalam membantu YAB Datuk Seri Presiden amat kami sanjungi. Kami bertuah mempunyai Datuk Seri Zahid Hamidi yang sentiasa wala’ di belakang Presiden Parti, semangat juangmu itu akan kami jadikan teras dan akan kami contohi.
74. Oleh itu, gandingan kedua mereka ini bagaikan aur dengan tebing, PUTERI UMNO Malaysia ingin mencadangkan pemilihan UMNO akan datang tidak mempertandingkan jawatan nombor satu dan nombor dua parti. Kedua-dua pemimpin berjiwa besar ini harus dikekalkan dan diberikan ruang untuk terus bersama-sama memantapkan parti dan negara. Dengan itu, tumpuan kita juga dapat ditumpahkan sepenuhnya terhadap usaha untuk menumpaskan gempuran politik pembangkang dalam PRU Umum ke-14 seterusnya menyambung mandat untuk memenuhi agenda kepentingan rakyat

Srikandi Pimpinan PUTERI UMNO sekalian,
75. Menyedari bahawa pilihan raya umum ke 14 ini adalah getir, penting dan ibu kepada segala pilihan raya. PUTERI akan terus memasakkan janji dan wala’ terhadap pemimpin dan parti UMNO ini bagi memenangkan Barisan Nasional. Sebab itu, PUTERI tidak mendesak sebarang pemilihan calon. Cuma kami mengharapkan agar pemilihan calon akan turut mengambil kira wanita dan orang muda. Sudah tentu YAB Presiden mempunyai metodologi sendiri sewaktu memilih calon namun pihak PUTERI mengharapkan calon yang dipilih itu nanti mestilah juga menekankan pendekatan WLWC: (Winnable, Likeable, Workable, dan Capable). Maksudnya calon yang dipilih mestilah yang boleh menang, disukai pengundi, mampu bekerja dan berkebolehan. Bahkan, bagi calon langsung seperti yang disebut oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, adalah kaedah yang terbaik, PUTERI UMNO mengharapkan juga konsesus yang sama dapat dicapai oleh semua parti komponen BN.

76. YAB Presiden, saya ingin menyatakan di sini, kalau ada di antara kami yang tidak dipilih, saya sebagai Ketua PUTERI UMNO Malaysia, ingin memberi jaminan PUTERI tidak akan merajuk, PUTERI tidak akan bergasak, PUTERI janji tidak tutup bilik gerakan. PUTERI AKAN TERUS BEKERJA! BEKERJA DAN BEKERJA! JANJI BN MENANG! Pilihlah yang terbaik dari kalangan yang terbaik demi kemenangan 2/3 majoriti pada Pilihan Raya Umum yang akan datang. Ayuh PUTERI!

Ingatlah sahabat-sahabat PUTERI,
Nak jadi Calon…. Calon juga;
Tolonglah Pegang Janji Ini,
Padukan Tenaga, Action Bersama.

Bersama gempur PUTERI Peduli,
Santunilah Hati Wanita Muda;
Buktikan Pencapaian PRU ini,
Get Out the Voters Target Kita.

77. Ayuh semua, sama-sama kita rapatkan baris dan saf, HIDUP MELAYU! HIDUP UMNO! BERSAMA GEMPUR!

0 comments:

Post a Comment