KUALA LUMPUR, 12 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang akan berlangsung di Istanbul, Turki pada 13 Disember ini.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, perdana menteri akan diiringi oleh isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan pegawai kanan kerajaan.
“Sidang Kemuncak Luar Biasa itu diadakan atas permintaan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam kapasitinya selaku Pengerusi Sidang Kemuncak Islam Ke-13, berikutan pengumuman Amerika Syarikat (AS) pada 6 Disember 2017 , yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel,” katanya.
Sidang Kemuncak itu didahului Mesyuarat Pegawai Kanan pada 12 Dis ini dan diikuti Mesyuarat Majlis Menteri-menteri Luar pada keesokan harinya.
Persidangan itu juga akan mengkaji semula perkembangan dan membincangkan kesan berikutan pengumumam pentadbiran AS untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.
Penglibatan Malaysia di dalam sidang kemuncak itu mengukuhkan lagi komitmen dan sokongan tidak berbelah bagi kepada rakyat Palestin dalam perjuangan mereka mendapatkan hak mereka untuk sebuah negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.
0 comments:
Post a Comment