Tuesday 12 December 2017

Pemuda UMNO Desak SSM Siasat Portal Berita 'The Malaysian Insight'


KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mahu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyiasat dakwaan Inside Media Sdn Bhd (Inside Media) yang menguruskan portal berita 'The Malaysian Insight' (TMI) gagal menghantar penyata tahunan dan akaun syarikat beraudit kepada agensi itu.

Penolong Setiausahanya, Datuk Mohammad Sahfri Abd Aziz, berkata siasatan perlu dilakukan segera terhadap dakwaan syarikat berkenaan yang tidak menghantar dokumen berkenaan kepada SSM sejak dari penubuhannya.

"Sekiranya didapati ini adalah benar maka tindakan perlu dikenakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu portal itu timbul apabila Perwakilan UMNO Pulau Pinang, Mohd Nashrol Hisham, pada Perhimpunan Agung UMNO 2017, minggu lalu meminta pihak berkuasa menyiasat pemilik portal itu yang dilihat kerap menghina kepemimpinan parti dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Semakan di SSM mendapati Inside Media diperbadankan pada 4 Mei 2014 dengan alamat berdaftar di Nombor 3A Tingkat Satu Jalan Wawasan Ampang 2/2, Bandar Baru Ampang.

Ia dikuasai oleh dua pengarah iaitu Puan Sri Faridah Begum K A Abdul Kader dan Harbir Singh a/l Ajaib Singh Gill.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, sebelum ini berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah menerima laporan berkenaan perkara itu. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment